363 siswazah NS terima hadiah penghargaan RM5,000

Aminuddin (dua dari kanan) menyerahkan sijil daripada kerajaan negeri
Aminuddin (dua dari kanan) menyerahkan sijil daripada kerajaan negeri
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 363 siswazah kelahiran Negeri Sembilan menerima hadiah penghargaan RM5,000 daripada kerajaan negeri di atas pencapaian mereka memperoleh ijazah kelas pertama.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ia melibatkan peruntukan lebih RM1.8 juta manakala 11 daripada mereka mendapat hapus kira pinjaman pendidikan daripada Yayasan Negeri Sembilan(YNS) berjumlah RM198,550.

"Saya ingin menegaskan komitmen kerajaan akan sentiasa menghargai dan mengiktiraf budaya kerja cemerlang masyarakat khususnya para mahasiswa.

"Penganjuran majlis seumpama ini diharap dapat menggalakkan para pelajar untuk terus berusaha dengan memberikan komitmen kepada pengajian dan budaya kecemerlangan yang berkualiti tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Siswazah Cemerlang Kelas Pertama Negeri Sembilan Sesi 1 Tahun 2023 di sebuah hotel pada Selasa.

Aminuddin berharap, pengiktirafan dan penghargaan diberikan dapat melonjakkan motivasi kepada para graduan untuk berusaha menjadi insan kamil yang bersahsiah, berkualiti, berinovasi, seterusnya menjadi role model dan mentor terbaik kepada masyarakat.

Jelasnya, anugerah berkenaan bukan sekadar pendorong atau pengiktirafan, bahkan mampu menjadi nadi penggerak dan peneraju kepada perubahan positif, dalam membudayakan kecemerlangan dalam kehidupan bermasyarakat.

"Mahasiswa adalah tonggak kepimpinan masa hadapan kerana anda semua akan mencorakkan dan mewarisi pentadbiran akan datang.

"Saya penuh yakin bahawa dengan adanya barisan mahasiswa yang cemerlang ini, masa depan kerajaan negeri dan negara akan ditadbir dengan orang yang memiliki merit selayaknya," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, YNS kini menyediakan pinjaman tidak boleh ubah kepada pelajar yang berhasrat menyambung pengajian mereka di peringkat sarjana atau ijazah doktor falsafah di institusi pengajian tinggi awam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!