Gubal undang-undang patahkan elemen Ali Baba dalam ekonomi

Rafizi semasa sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (RMKe-12) bersama Jabatan Wilayah Persekutuan dan Pelancaran Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR), pada Selasa. - Foto Bernama
Rafizi semasa sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (RMKe-12) bersama Jabatan Wilayah Persekutuan dan Pelancaran Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR), pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Ekonomi sedang mengkaji beberapa komponen untuk menggubal undang-undang khusus baharu yang mampu mematahkan elemen rent-seeking atau konsep Ali Baba dalam struktur perniagaan dan ekonomi negara.

Menteri berkenaan, Rafizi Ramli berkata, isu warga tempatan yang menyewakan perniagaan dimiliki kepada warga asing telah berlanjutan sekian lama tanpa sebarang undang-undang khusus berkaitan rent-seeking sehingga menyebabkan wujud rasa tidak adil dan tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.

"Kita perlu selesaikan bagaimana orang asing boleh berniaga di kawasan penjaja... bila mereka ditahan, didapati sebahagian besar yang berniaga menggunakan lesen warga tempatan dan secara teknikal, ia tidak salah.

"... mereka mengatakan mereka merupakan pekerja kepada peniaga tempatan. Jadi, orang-orang kita juga yang bekerjasama dan memberi ruang kepada perkara ini berlaku kerana tiada undang-undang khusus mengenai pemilikan perniagaan dan sewa,” katanya ketika sesi libat urus Kementerian Ekonomi bersama Jabatan Wilayah Persekutuan di sini pada Selasa.

Isu pemilikan lesen warga tempatan dan peniaga warga asing tersebut diutarakan oleh seorang peserta sesi libat urus yang mahu kerajaan campur tangan serta menangani perkara itu dengan serius.

Rafizi berkata, ketika ini, penguatkuasaan undang-undang bagi perkara itu hanya tertakluk di bawah Kanun Keseksaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Pada sidang media selepas sesi libat urus itu, beliau berkata, Kementerian Ekonomi sedang membangunkan cadangan awal berkaitan undang-undang tersebut sebelum dibentang kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara Julai depan.

"Ali Baba ini wujud dari peringkat bawah hingga ke orang atasan. Ali Baba selama ini menjadi masalah dalam ekonomi tetapi tiada perbincangan khusus ke arah penggubalan undang-undang,” katanya sambil menambah isu itu perlu diberi perhatian serius.

Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Rosli Ibrahim pula mencadangkan agar penggubalan undang-undang itu wajar meliputi penguatkuasaan terhadap warga asing sekiranya didapati melanggar peraturan.

"Cuba kita pergi Singapura atau Indonesia, tidak boleh berniaga sesuka hati macam warga asing di negara kita. Ini tidak adil kepada peniaga tempatan," katanya.

Rosli, yang juga Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, berkata Ali Baba mengakibatkan wujudnya persaingan tidak sihat kerana ketiadaan modal serta sukar untuk penjaja yang terdiri daripada golongan B40 untuk bangkit semula. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!