Tingkat kerjasama strategik di wilayah BIMP-EAGA - Mustapha

Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Borneo kali Ke-8 (BOSH 2023) yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah menarik penyertaan lebih 300 peserta.
Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Borneo kali Ke-8 (BOSH 2023) yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah menarik penyertaan lebih 300 peserta.
A
A
A

SHAH ALAM - Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) perlu meningkatkan kerjasama strategik dan menjadi peneraju keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di Borneo dan negara jiran yang bakal menjadi kawasan pertumbuhan baharu di rantau ASEAN.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, tidak mustahil untuk NIOSH menjadi peneraju KKP di rantau ini berdasarkan pengalaman dan kemahiran yang ada.

Menurutnya, pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan NIOSH dan anak syarikatnya, NIOSH Certification adalah setaraf dengan agensi antarabangsa.

“Semua pihak berkepentingan perlu menggembleng tenaga dan menyokong usaha kerajaan meningkatkan tahap KKP di keseluruhan wilayah Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) kerana ia merangkumi keluasan 1.6 juta kilometer persegi, dengan anggaran 73 juta penduduk.

“Peruntukan besar yang sedang mengalir ke rantau ini sudah pasti membawa limpahan pembangunan yang pesat terutamanya daripada aspek ekonomi dan fizikal.

“Bagaimanapun, ia akan turut memberi cabaran baru dari sudut sosial termasuk pembangunan sumber manusia serta risiko berkaitan KKP yang turut merangkumi kemalangan di tempat kerja dan kemalangan ulang-alik (commuting accidents)," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau sebelum itu merasmikan Persidangan dan Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Borneo kali Ke-8 (BOSH 2023) di Kota Kinabalu.

Jelas Mustapha, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah persediaan susulan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan Timur serta usaha melengkapi pelbagai projek mega pertanian dan hidroelektrik yang dirancang kerajaan Indonesia di Kalimantan, yang bakal menjadi kawasan pertumbuhan baharu di bawah wilayah BIMP-EAGA.

“Kerajaan telah meluluskan peruntukan tambahan RM1 bilion bagi projek menaik taraf dan membina infrastruktur yang lebih baik di sepanjang sempadan Sarawak dan Sabah dengan Kalimantan, Indonesia.

“Kedudukan Sabah dan Sarawak yang diangkat kepada wilayah serta peruntukan pembangunan sebanyak RM12.1 bilion untuk kedua-dua wilayah ini di bawah Belanjawan 2023, membuktikan keprihatinan Kerajaan Perpaduan terhadap pembangunan ekonomi di rantau ini," ujar beliau.

Sementara itu, katanya, BOSH 2023 yang bertemakan ‘Transformasi Borneo untuk Masa Depan Lebih Berdaya Tahan’ amat bertepatan kerana ia memberi penekanan kepada ikhtiar secara holistik agar segala dasar berkaitan KKP dan pelaksanaannya di Malaysia lebih manusiawi serta sentiasa ditambah baik menerusi musyawarah dan maklum balas rakyat.

Jelasnya, segala ilmu, kepakaran dan pengalaman yang dikongsi dalam BOSH 2023 dapat membantu semua pihak menghadapi cabaran baru KKP dan pada masa yang sama, memberi maklum balas untuk kerajaan merangka atau menambah baik polisi KKP sedia ada.

Program dua hari tersebut berjaya menarik lebih 300 peserta yang terdiri daripada wakil agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam bidang KKP di dalam dan luar negara.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!