22,000 pesara kerajaan mangsa scammer, kerugian RM850 juta
KUALA LUMPUR - Seramai 22,000 pesara kerajaan telah menjadi mangsa scammer setakat ini, melibatkan kerugian sebanyak RM850 juta, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Justeru, beliau berkata, kerajaan amat berharap agar Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) meneruskan program khas untuk memberi dan meningkatkan kesedaran golongan pesara bagi memastikan mereka tidak menjadi mangsa pihak yang mengambil kesempatan itu.
"Kerjasama daripada pelbagai pihak juga amat penting untuk menghasilkan penyelesaian yang mampan dan inklusif dalam menangani isu penipuan ini," katanya.
Ahmad berkata demikian ketika berucap pada majlis pemeteraian pembaharuan memorandum persefahaman dan pengenalan sistem integrasi antara Jabatan Perkhidmatan Awan (JPA), KWAP dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) di sini, hari ini.
Mengenai integrasi sistem JPA, KWAP dan LPPSA, Ahmad berkata, pesara tidak perlu bersusah hati memikirkan urusan pembayaran pembiayaan perumahan mereka menerusi potongan pencen kerana segala data yang diperlukan oleh LPPSA telah tersedia dikemas kini dalam sistem tersebut.
Ahmad juga mengingatkan pesara supaya mengetahui komitmen kewangan yang bakal mereka hadapi setelah berpencen bagi merancang kewangan sebaiknya.
Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA, Mohd Farid Nawawi pula berkata, integrasi itu merupakan sebuah rangkaian proses baharu bagi menghubungkan sistem persaraan JPA, KWAP dan LPPSA.
"Proses integrasi ini dilakukan untuk menyelaraskan data agar setiap pusat agensi memiliki data persaraan yang sama. Selain itu, integrasi juga adalah bertujuan untuk meningkatkan ketepatan data dan meminimakan kesalahan," katanya.
Tambahnya kerjasama itu juga membantu usaha pihak kerajaan dalam memberi kemudahan kepada penjawat awam selain meningkatkan mutu perkhidmatan dan pengalaman cemerlang kepada pesara kerajaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!