Hazman menang kes tuntutan sivil

Hazman (dua dari kanan) bersama barisan peguamnya selepas menang kes tuntutan sivil di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa.
Hazman (dua dari kanan) bersama barisan peguamnya selepas menang kes tuntutan sivil di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pakar teknologi maklumat (IT), Hazman Mohamed Halid, 45, pada Selasa memperoleh ganti rugi sejumlah RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas menang kes tuntutan sivil terhadap Kamalrudin Sani.

Hakim Datin Salawati Djambari memutuskan plaintif memenangi kes saman dengan jumlah ganti rugi RM100,000 dan kos RM20,000 yang perlu dibayar defendan, Kamalrudin, 46.

Hazman diwakili peguam, Nor Zabetha Muhammad Nor dan A Chinnapalani Devi dari Tetuan Nor Zabetha Chinna & Co, manakala defendan diwakili oleh peguam daripada Tetuan Tarmeze & Associates.

Nor Zabetha berkata, tuntutan sivil itu difailkan pada 2021 atas kes fitnah dan bagi mendapatkan injuksi supaya tidak meneruskan sebarang penulisan berkaitan tuduhan menyatakan plaintif bahawa Hazman adalah seorang 'scammer'.

Beliau berkata, pihaknya juga meminta suatu permohonan maaf bagi penulisan berkenaan, ganti rugi dan faedah atas ganti rugi serta kos.

"Dalam kes ini kita berjaya mendapatkan injuksi, permohonan maaf, tuntutan ganti rugi sejumlah RM100,000 serta kos sebanyak RM20,000 kerana defendan gagal membuktikan dakwaan bahawa plaintif adalah seorang scammer," katanya.

Sementara itu, Hazman ketika ditemui bersyukur dengan keputusan tersebut dan yakin apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

"Saya yakin semuanya ada hikmah, hari ini saya bukan sahaja menang kes tuntutan sivil sejumlah RM100,000 dan akan menerima bayaran kos RM20,000 malah membersihkan nama sebagai 'scammer' selama ini," katanya.

Menurut Hazman, dia yang difitnah sebagai 'scammer' menerusi suatu kenyataan yang dimuat naik oleh defendan dalam media sosial bersyukur atas keputusan itu.

Dia yang merupakan anak kelahiran Petaling Jaya dan berkhidmat dengan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu di Vienna berharap, defendan bukan sahaja membayar ganti rugi dalam tempoh terdekat malah meminta suatu permohonan maaf seperti diperintahkan mahkamah.

"Pesanan saya kepada mana-mana pengguna media sosial supaya lebih berhati-hati dan tidak memburukkan nama seseorang mahupun melemparkan tohmahan palsu tanpa siasat terlebih dahulu," katanya.

Hazman tidak menyangkal tarikan pada dirinya yang berkelihatan seperti kacukan serta kerjayanya menjadi faktor utama sindiket 'scammer' menyalah guna gambar dikongsi dalam Facebook bagi tatapan pengikutnya.

Dia yang berstatus duda anak tiga berkata, hampir setiap hari terpaksa melaporkan kepada FB akaun palsu yang menggunakan gambarnya, bagaimanapun kegiatan itu tidak dihentikan sebaliknya masih berleluasa.

"Saya menjadi mangsa keadaan kerana tidak tentu pasal saya terbabit dalam isu ini sedangkan saya lebih gemar menggunakan laman sosial untuk beramal dan berkongsi pengalaman.

"Alhamdulillah hari ini saya dapat membuktikan saya bukan 'scammer' dan berharap tiada lagi individu yang mengganggu ketenteraman hidup saya," katanya dan memberitahu dia dalam proses memfailkan tuntutan sivil terhadap seorang pengguna media sosial yang turut menaburkan fitnah terhadapnya.

Pada 2 Disember 2019, media melaporkan kisah Hazman dituduh sebagai ‘kasanova’ berbahaya dalam media sosial kononnya gemar mempermainkan hati dan perasaan sekurang-kurangnya 20 wanita tempatan bagi mendapatkan wang.

Bukan itu saja, dia turut dituduh sebagai dalang penipuan Love Scam apabila ada antara mangsa terbabit pernah diperdaya hingga menyerahkan wang mencecah RM200,000 sebelum ini.

Malah, lebih buruk apabila ada antara mangsa yang tertekan mengugut untuk mencederakan anak-anaknya yang tinggal bersama ibu di Subang Jaya.

Hazman pernah membuat laporan polis di Balai Polis Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) pada April 2019.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!