ACC 2023 penganjuran terbaik

Abu Samah
Abu Samah
A
A
A

PENGANJURAN Kejohanan Lumba Basikal Trek Asia (ACC) 2023 selama enam hari di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan yang berakhir pada Isnin lalu mendapat maklum balas positif daripada setiap negara yang bertanding.

Malah, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) turut memberikan ‘tabik hormat’ kepada Malaysia atas penganjuran ACC 2023.

“Syukur alhamdulillah kita sekali lagi berjaya menganjurkan ACC selepas 2018. Selaku Presiden, saya berpuas hati dengan perjalanan penganjuran ACC kali ini bermula hari pertama hingga hari terakhir.

“Melalui e-mel yang diterima, pihak UCI mahupun ACC merakamkan penghargaan kepada kita kerana telah berjaya menjadi tuan rumah dengan baik kerana ACC ini boleh dianggap sebagai satu kejohanan bertaraf dunia.

“Saya juga telah berjumpa dengan presiden dan wakil persekutuan berbasikal daripada beberapa negara lain.

“Mereka gembira dengan apa yang telah kita lakukan sepanjang enam hari ACC berlangsung,” katanya dalam kenyataan akhbar pada Selasa.

Untuk rekod, penganjuran ACC 2023 melibatkan penyertaan hampir 500 pelumba termasuk kira-kira 60 pelumba para (non-able) daripada keseluruhan 17 negara termasuk Malaysia selaku tuan rumah.

Selain Jepun, Korea Selatan dan China yang dilabel gergasi Asia, antara negara lain yang mengambil bahagian termasuklah Taiwan, India, Hong Kong, Macau, Kazakhstan, Uzbekistan, Iran, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Thailand, Indonesia, Singapura serta Laos.

“Bagi saya, ini (jumlah penyertaan) satu angka yang cukup baik. Malah, dari segi penganjurannya, saya boleh katakan ACC kali ini lebih baik berbanding edisi 2018 yang turut diadakan di Velodrom Nasional, Nilai.

“Jadi, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur ACC 2023, agensi-agensi kerajaan seperti Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) yang banyak membantu menjayakan kejohanan ini.

“Setiap pegawai mahupun petugas-petugas terlibat telah menjalankan tugas dengan cukup profesional kerana bukan mudah untuk mengendalikan kejohanan bertaraf dunia seperti ACC,” ujar Abu Samah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!