Bahasa Melayu pesat berkembang di negara tembok besar
KUALA LUMPUR - Disapa oleh warga asing dalam bahasa Melayu ketika berada di luar negara sentiasa mengujakan penulis, dan itulah yang dirasai apabila pertanyaan "apa khabar” menerjah pendengaran sebaik penulis menjejakkan kaki di Universiti Minzu, Yunnan, China lewat tahun lepas.
Tinggi lampai dan berkaca mata, yang menyapa adalah seorang lelaki tempatan dan memperkenalkan dirinya - dalam bahasa Melayu yang fasih - sebagai Zhao Ran, 36, seorang daripada pensyarah bahasa Melayu di universiti itu.
Penulis terkejut dan kagum dengan kelancaran Zhao bertutur dalam bahasa Melayu - tidak ubah seperti rakyat Malaysia - kerana tidak dimaklumkan oleh penganjur Program China Asia Pasific Press Centre 2022, bahawa ada warga universiti yang terletak di Kunming, ibu kota Yunnan itu boleh berbahasa Melayu.
Zhao yang kelihatan teruja menyambut kedatangan kami - peserta program yang rata-rata berasal dari Asia Tenggara - turut memberitahu bahawa pihak universiti telah menyediakan pelbagai acara kebudayaan bagi meraikan lawatan kami pada hari berkenaan.
Barangkali berbangga dapat menunjukkan kemahirannya kepada penulis, Zhao rancak bercerita, terutama tentang pensyarah, pelajar serta senario pembelajaran di Sekolah Pengajian Bahasa-bahasa dan Budaya Asia Tenggara dan Asia Selatan yang disertainya sejak 13 tahun lepas.
"Kebanyakan pensyarah dan pelajar di sekolah ini mempunyai nama Melayu. Nama Melayu saya ialah ‘Bulan’, diterjemahkan daripada nama bahasa Inggeris saya, iaitu Moon,” ujarnya, mencuit hati penulis, serta menambah nama Melayu itu bertujuan menyuntik semangat warga fakulti dalam menguasai bahasa Melayu.
Beliau kemudian memperkenalkan penulis kepada seorang pelajar wanita yang nama Melayunya ialah ‘Humairah’.
Hampir sama
Kami dibawa oleh Zhao ke bangunan utama universiti, dan di sepanjang perjalanan itu kami rancak berbual. Di kiri dan kanan jalan pula lebih 100 pelajar berpakaian tradisional etnik mewakili kesemua 56 suku kaum yang diiktiraf oleh kerajaan China, berdiri sederet, menyambut kedatangan kami.
Sambil menguntum senyuman manis, mereka menari dan menyanyikan lagu "selamat datang”.
Sepintas lalu, pakaian tradisional yang dipakai oleh pelajar terbabit seakan busana suku kaum Kadazandusun di Sabah dan etnik Iban di Sarawak.
Penulis yang berketurunan Bisaya, tidak pernah menyangka ada etnik di luar Malaysia yang mempunyai pakaian tradisional hampir sama dengan satu daripada busana warisan budaya negeri kelahiran, iaitu Sabah, membuatkan penulis berasa begitu dekat dengan mereka.
Lebih-lebih lagi kesemua pelajar terbabit begitu ramah, sekali gus mengubat kerinduan penulis yang telah berada di negara Tembok Besar itu sejak Julai 2022, mengikuti program enam bulan hingga Disember, anjuran China Public Diplomacy Association menerusi China International Press Communication Center.
"Jurusan bahasa Melayu ditubuhkan pada 2010, dan sekarang kita ada lebih kurang 80 pelajar yang mengikuti pengajian selama empat tahun.
"Ada empat orang pensyarah bahasa Melayu, kesemuanya warga China, dan kebanyakan kami adalah lulusan Beijing Foreign Studies University,” ujar Zhao, mengalih perhatian penulis yang tertumpu pada kumpulan pelajar terbabit.
Universiti etnik terkemuka China
Universiti Minzu yang ditubuhkan pada 1 Ogos 1951, adalah antara universiti untuk minoriti yang terawal negara itu dan terkenal dengan penekanan terhadap pendidikan, penyelidikan dan pemeliharaan budaya etnik minoriti mereka.
"Sekolah ini bertujuan memupuk bakat profesional berorientasikan bahasa yang dapat bertutur dalam pelbagai bahasa dari rantau Asia Selatan dan Asia Tenggara. Kami telah membangunkan program pembelajaran 15 bahasa rasmi kesemua 14 negara di Asia Selatan dan Asia Tenggara.
"Bahasa-bahasa tersebut ialah Thai, Burma, Vietnam, Lao, Kemboja, Melayu, Indonesia, Hindi, Bengali, Filipina, Tamil, Pashto, Sinhala, Nepal dan Urdu. Penguasaan bahasa-bahasa ini akan menghapuskan halangan bahasa, menggalakkan interaksi budaya dan merapatkan hubungan rakyat dengan rakyat,” kata Presiden universiti Zhang Qiaogui semasa menyambut kedatangan kami.
Institut pengajian tinggi ini mempunyai lebih 15,000 pelajar peringkat sarjana muda dan siswazah. Majoriti pelajar adalah daripada lebih 50 kumpulan etnik yang ada di China selain segelintir pelajar asing, mengikuti pelbagai program pengajian bahasa dan budaya suku kaum minoriti serta kursus-kursus lain di bawah bidang antropologi.
"Saya sudah belajar bahasa Melayu selama setahun setengah dan saya sangat teringin ke Malaysia untuk melanjutkan pelajaran dan bekerja di sana,” kata Liu Zhi Hui, penuntut tahun dua jurusan bahasa Melayu ketika ditanya tentang faktor dia mempelajari bahasa itu.
Liu atau nama Melayunya Zarif, adalah daripada etnik Va, turut memberitahu yang dia akan mengikuti program pertukaran pelajar di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, pada Oktober ini.
Sejarah pengajian Bahasa Melayu di China
Pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di China bermula pada 1960-an dengan Beijing Foreign Studies University (BFSU) menjadi universiti pertama menawarkan kursus bahasa Melayu di negara itu menerusi usaha perintis Prof. Wu Zongyu.
Sementara itu, menurut Penasihat Kehormat Pusat Pengajian Melayu China BFSU Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan yang dihubungi Bernama di sini, susulan persetujuan antara kerajaan Malaysia dan China untuk bekerjasama dalam bidang pendidikan, khususnya pengajaran bahasa Melayu di China, sebuah pusat pengajian ditubuhan di BFSU pada 1997.
Dikenali sebagai Pusat Bahasa Melayu, institusi itu kemudian dinaik taraf menjadi Pusat Pengajian Melayu China pada 2005, dan secara rasmi menjadi pangkalan kegiatan ilmiah dan pengembangan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu di China, kata beliau yang dilantik ke jawatan itu pada April lepas.
Mengulas lebih lanjut, Awang yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, berkata pada masa ini terdapat 13 universiti di China yang menawarkan program pengajian bahasa Melayu peringkat ijazah dan sebuah kolej dengan program diploma.
"Universiti dan kolej terbabit terletak di kota Beijing, Tianjin, Kunming, Guangzhou, Nanning, Xian, Luoyang, Hainan. Pada masa sama, ada beberapa buah universiti lain yang menawarkan bahasa Melayu sebagai kursus elektif seperti di Hebei dan Sichuan,” katanya.
Ujian pengiktirafan Bahasa Cina-Bahasa Melayu
Pada tahun lepas, China melancarkan Ujian Pengiktirafan Penterjemahan Bahasa Cina-Bahasa Melayu (CATTI BC-BM), iaitu ujian kelayakan vokasional peringkat negara yang dijalankan oleh Kementerian Sumber Manusia dan Sekuriti Sosial China menerusi Jabatan Komunikasi Antarabangsa China.
CATTI dilancarkan bagi mengukuhkan pengurusan industri penterjemahan, menyeragamkan pasaran kerja penterjemahan, meningkatkan mutu penterjemah dan jurubahasa, sekali gus menyaksikan pendidikan bahasa Melayu berkembang pesat di China sejak akhir-akhir ini.
Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing dilaporkan berkata melalui ujian itu, pendidikan modal insan dalam bidang penterjemahan bahasa akan dipermudah, di samping mendorong persefahaman antara rakyat China dan Malaysia. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!