Program Food Bank diperluas ke bazar Ramadan

Saifuddin Nasution (dua, kiri) beramah mesra bersama peniaga ketika melawat tapak bazar ketika Majlis Perasmian Bazar Aidilfitri dan Bank Makanan Siswa di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini. - Foto Bernama
Saifuddin Nasution (dua, kiri) beramah mesra bersama peniaga ketika melawat tapak bazar ketika Majlis Perasmian Bazar Aidilfitri dan Bank Makanan Siswa di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Program Food Bank Malaysia akan diperluaskan dengan menjadikan bazar Ramadan sebagai pusat pengumpulan dan pengedaran makanan untuk diserahkan ke kampus, surau atau masjid.

Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, projek rintis itu akan dilaksanakan pada bulan Ramadan ini di sekitar Lembah Klang bagi mengelak pembaziran makanan yang seringkali berlaku pada bulan berkenaan.

“Kaedahnya adalah kita boleh tempatkan satu kotak di mana lebihan makanan boleh diletak di situ dan kita akan ambil untuk beri sasaran kita bersahur. Kita ambil pada waktu berbuka puasa dan kita pastikan ia selamat dimakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Aidilfitri dan Food Bank Siswa di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini.

Saifuddin berkata selain bazar Ramadan, KPDNHEP turut menyasarkan hotel dan rumah kelab sebagai pusat pengumpulan dan pengedaran makanan dengan aspek keselamatan makanan menjadi keutamaan memandangkan ia akan diberikan kepada individu yang bersahur.

“Kita perlu pastikan aspek makanan itu selamat. Kita tidak mahu makanan yang disediakan masa (berbuka) Ramadan dikaitkan dengan makanan yang tidak habis semalam, dijual pada hari ini... benda (perkara) itu akan menimbulkan potensi ‘hiccup’ (masalah) dan itu cuba kita elak,” katanya.

Sementara itu Saifuddin berkata 382 pelajar UTM di sini menerima manfaat daripada Program Food Bank Siswa Malaysia pada peringkat pertama.

Beliau berkata pelajar berkenaan adalah mereka yang dikenalpasti layak daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40).

“Uniknya di UTM ini sesuai dengan bidang mereka, iaitu ICT (teknologi maklumat dan komunikasi), mereka bangunkan satu pangkalan data dan penerima dikenalpasti melalui sistem ‘pengecaman wajah’, gambar di ambil oleh kamera dan skrin mempamerkan dia adalah penerima sah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Program Food Bank Siswa di UTM Kuala Lumpur menggunakan konsep pantri yang dibuka setiap hari kecuali hujung minggu, mengikut masa yang ditetapkan.

Setakat ini, program berkenaan sudah dilancarkan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh, Pulau Pinang, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Kuala Lumpur, Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, Universiti Malaya (UM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan UTM Skudai, Johor.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!