Tempahan lembu korban menurun 20 peratus
KUBANG PASU - Tempahan lembu bagi ibadah korban pada tahun ini menurun kira-kira 20 peratus berbanding tahun lepas.
Pengarah Urusan Fatimah MZ Agro Farm Sdn Bhd, Zainol Abidin Mohamad berkata, pihaknya menyediakan 300 ekor lembu bagi menampung permintaan pelanggan pada tahun ini.
Bagaimanapun katanya, setakat ini dia hanya menerima tempahan kira-kira 110 ekor sahaja.
"Berbanding tahun lepas kita berjaya jual hampir 200 ekor lembu, mungkin situasi ini disebabkan oleh ekonomi rakyat yang agak lemah ketika ini," katanya ketika ditemui di ladang ternakannya di Jalan Sintok di sini pada Rabu.
Menurutnya, walaupun harga dedak mengalami peningkatan setiap bulan, namun mereka masih mengekalkan harga lembu antara RM5,400 sehingga RM6,000 seekor mengikut saiz.
"Kalau kita nak kurangkan lagi harga lembu, agak berat sebab kita terpaksa tanggung kos makanan lembu yang agak tinggi.
"Melainkan jika harga dedak dikurangkan, insya-ALLAH kita boleh tawarkan harga lembu yang lebih rendah" katanya.
Zainol Abidin berkata, pihak ladang masih membuka tempahan lembu korban sama ada secara hidup atau tompok sehingga 28 Jun depan.
"Kita juga menyediakan servis penyembelihan kepada pelanggan yang berhasrat memudahkan urusan ibadah korban mereka.
"Jadi pelanggan boleh datang ambil daging sahaja, semua proses menyembelih dan melapah akan diuruskan pihak ladang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!