Negara tuan rumah AMF bergantung kesepakatan 68 negara Asia
KUALA LUMPUR - Pertimbangan negara mana yang akan menjadi tuan rumah Tabung Kewangan Asia (AMF) bergantung kepada kesepakatan negara-negara di rantau Asia yang terdiri daripada 68 negara, kataTimbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata, penubuhan AMF buat masa ini masih pada tahap cadangan dan dilihat sebagai langkah penting dalam mengukuhkan kewangan serantau dan menjadi platform bantuan negara yang terlibat krisis.
"Saya hadir mesyuarat Bank Pembangunan Asia (ADB) di Incheon, Korea Selatan pada Mei dan memahami bahawa apakah tugas ADB dan bagaimana kesukaran dan cabaran untuk menubuhkan AMF," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara, pada Rabu.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya yang ingin tahu adakah Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi pengurusan tatakelola AMF dan peranan Malaysia dalam perancangan AMF.
Ahmad berkata pada masa ini, fokus negara adalah untuk melibatkan kerjasama antara negara Malaysia dan negara-negara lain untuk menambah baik mekanisme sedia ada dan melakukan kajian lebih mendalam.
Katanya, antara inisiatif yang telah diadakan bagi mengukuhkan keupayaan negara dan meningkatkan keyakinan negara-negara Asia terhadap potensi ekonomi negara dalam rantau Asia termasuk Inisiatif Multilateralisasi Chiang Mai selaku pengaturan pertukaran mata wang antara negara-negara Asean+3 (Asean, China, Jepun, Korea Selatan),
Dalam soalan tambahannya, Mohd Hisamudin juga ingin tahu hala tuju penggunaan mata wang dua hala bagi menggantikan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) sebagai mata wang dagangan utama untuk membiayai perdagangan serta pelaburan antarabangsa dalam kalangan negara Asean.
Menurut Ahmad, pada peringkat Asean, Malaysia juga melaksanakan pengaturan Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan bersama-sama Indonesia dan Thailand untuk memudahkan negara terlibat menggunakan mata wang tempatan untuk transaksi dua hala melibatkan perdagangan dan pelaburan.
Menurutnya, menerusi kerjasama ini penyelesaian perdagangan menggunakan mata wang renminbi China, baht Thailand dan rupiah Indonesia kini masing-masing sebanyak 16 peratus, 16.1 peratus dan 16.6 peratus daripada keseluruhan penyelesaian perdagangan.
Pada 2022, Gabenor Bank Pusat Asean melalui Deklarasi Peningkatan Kesalinghubungan Pembayaran Serantau dan Penggalakan Transaksi Mata Wang Tempatan telah bersetuju menggalakkan lagi penggunaan mata wang tempatan untuk transaksi ekonomi dan kewangan dalam kalangan negara anggota Asean, katanya.
"Ini merupakan langkah awal untuk mengurangkan kebergantungan kepada dolar AS dan meningkatkan lagi kestabilan kewangan serantau.
"Negara-negara serantau akan terus meningkatkan lagi kecekapan dan keberkesanan mekanisme dari semasa ke semasa supaya kestabilan ekonomi dan kewangan serantau terus terjalin," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!