PM doakan Agong, Permaisuri peroleh haji mabrur
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berangkat ke Tanah Suci pada Rabu memperoleh haji yang mabrur dan segala urusan ibadah haji berjalan lancar.
Anwar yang menghadiri Upacara Keberangkatan Seri Paduka berdua di Istana Negara pagi ini, turut mendoakan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dikurniakan kesihatan yang baik sepanjang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci.
"Mendoakan semoga Tuanku sekalian memperoleh ibadah haji yang mabrur dan diberi kesihatan yang baik serta dilancarkan segala urusan ibadah haji di Tanah Suci Makkah," katanya menerusi catatan di Facebook.
Seri Paduka berdua dijadual berada di Tanah Suci bermula hari ini hingga 2 Julai.
Kerajaan Arab Saudi mengumumkan hari Wukuf, yang merupakan kemuncak haji, adalah pada Selasa, 27 Jun, manakala Hari Raya Aidiladha disambut pada Rabu, 28 Jun.
Umat Islam di Malaysia pula akan menyambut Aidiladha pada 29 Jun. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!