Sindiket tumpas, 68 PATI ditahan di Terminal Bas Kota Bahru
SHAH ALAM - Kanak-kanak berumur 10 tahun antara 68 pandatang asing tanpa izin (PATI) termasuk tiga lelaki warga tempatan diberkas menerusi Ops Gelombang 3 di Terminal Bas Kota Bahru, Kelantan di sini pada Rabu lalu.
Operasi yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia ini sekali gus menumpaskan sindiket penyeludupan manusia dipercayai dari negara jiran.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi bermula kira-kira jam 3 pagi itu dilaksanakan sepasukan pegawai dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dan Jabatan Imigresen Malaysia Kelantan rentetan Ops Gelombang 2 yang dijalankan sebelum ini.
"Seramai 68 PATI berumur antara 10 sehingga 62 tahun dipercayai cuba merebut peluang pekerjaan secara haram di negara ini.
"Antara ditahan melibatkan 16 lelaki dan lima wanita Myanmar, dua lelaki, tiga lelaki Bangladesh, 10 lelaki Indonesia, seorang lelaki dan lima wanita Vietnam dan 11 lelaki, 14 wanita dan seorang kanak-kanak-kanak lelaki India," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Katanya, kesemua PATI yang ditahan dipercayai baru tiba dari negara jiran.
"Selain itu turut diberkas lelaki warganegara Malaysia disyaki berperanan sebagai transporter sindiket ini.
"Siasatan mendapati kesemua PATI ini akan dibawa ke destinasi tertentu di luar Kelantan dan sekitar Lembah Klang," katanya.
Menurutnya, kegiatan sindiket ini dipercayai menyeludup PATI melalui pengkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand menerusi aduan dan risikan yang dijalankan.
"Dalang sindiket dipercayai mengenakan bayaran antara RM6,000 hingga RM7,000 bagi setiap PATI untuk masuk ke negara ini dan dipercayai telah aktif sejak enam bulan lalu.
"Transporter tempatan menerima upah antara RM150 hingga RM250 bagi setiap orang PATI yang diangkut dari sempadan ke terminal bas," katanya.
Ujar Ruslin, kes disiasat bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966.
"Operasi dijalankan turut menyita tiga kenderaan yang dianggarkan bernilai RM50,000 untuk tindakan lanjut.
"Tiga suspek tempatan direman selama enam hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi tujuan siasatan di bawah Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!