9 anggota bomba Perak dikenakan tatatertib, buang kerja
IPOH - Sembilan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak telah dikenakan tindakan tatatertib termasuk buang kerja kerana terlibat dalam pelbagai masalah disiplin.
Pengarah JBPM negeri, Sayani Saidon berkata, salah laku yang direkodkan sepanjang tahun lalu itu membabitkan kesalahan khalwat, pemalsuan dokumen dan penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, tindakan berhenti kerja dikenakan ke atas seorang anggota yang terlibat kes khalwat manakala satu kes pemalsuan dokumen dalam tindakan mahkamah.
"Seramai tujuh anggota dapat kita kesan terlibat dalam penyalahgunaan dadah dan mereka ini telahpun dirujuk kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk bantu dipulihkan.
"Sekiranya selepas ini mereka masih terlibat, kita tidak akan teragak-agak mengenakan tindakan lebih berat dengan buang kerja," katanya sempena Majlis Perhimpunan Bulanan dan Pemakaian Tanda Pangkat kepada 24 pegawai di Ibu Pejabat JBPM Perak di sini pada Rabu.
Beliau berkata, sebagai pasukan penyelamat, aspek disiplin amat dititikberatkan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota mahupun pegawai terlibat pelanggaran disiplin dan jenayah.
"Untuk kes terlibat penggunaan najis dadah ini, kita memang tiada toleransi.
"Kita adakan ujian urin secara rawak di setiap balai untuk memastikan bilangan pegawai terlibat dapat dikekang," katanya.
Sementara itu, Sayani berkata, dalam tempoh enam bulan pertama ini, taksiran harta yang berjaya diselamatkan daripada kebakaran adalah RM143.9 juta.
Katanya, jumlah itu menurun 12 peratus berbanding taksiran tahun lalu iaitu RM163.4 juta.
"Saya minta semua ketua balai beri tumpuan terhadap response time ke tempat kejadian dibantu bomba sukarela bagi mempercepatkan masa tiba di tempat kejadian.
"Pembaharuan strategi mempercepatkan time responders ke tempat kecemasan dan pelaksanaan pre-planning berterusan merupakan faktor membantu outcome ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!