BRM FC dedah punca tarik diri

BRM FC ketika berdepan Perlis United baru-baru ini. - Foto BRM FC
BRM FC ketika berdepan Perlis United baru-baru ini. - Foto BRM FC
A
A
A

KUALA Kangsar BRM FC tampil menjelaskan masalah kewangan dihadapi pasukan berkenaan merupakan punca kelab dari Perak itu menarik diri baki saingan Kejuaraan MBSB Bank 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Kangsar BRM FC, Ghafari Nasir menegaskan, keputusan itu dipersetujui Ahli Lembaga Pengarah Kelab Bolasepak BRM.

"Ini disebabkan kerana beberapa syarikat penajaan yang telah tidak menunaikan janji seperti yang dipersetujui sebelum ini.

"Sehubungan itu, saya mewakili Kelab Bolasepak BRM memohon maaf kepada semua pemain dan pengurusan pasukan yang telah berkhidmat dalam beberapa perlawanan musim ini.

"Tunggakan gaji kepada semua pegawai dan pemain pasukan akan dilunaskan kelab secara berperingkat mengikut jumlah sebenar yang layak diterima mereka.

"Kelab Bolasepak BRM juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pemain dan pengurusan pasukan yang bersama kelab ini dari awal musim," katanya.

Sebagai rekod, Kuala Kangsar BRM menduduki tangga kesembilan liga dalam kalangan 14 pasukan dengan mengumpul enam mata hasil dua menang dan tujuh tewas.

Terdahulu Liga Bolasepak Amatur (AFL) mengesahkan menerima surat makluman penarikan diri kelab yang berpusat di Kuala Kangsar tersebut.

“Kuala Kangsar BRM FC telah secara rasmi menarik diri dari saingan Kejuaraan MBSB Bank menerusi surat yang dihantar kepada AFL pada 19 Jun.

“Kita telah berusaha untuk berbincang dan cuba membantu KK BRM FC dalam menangani masalah yang dihadapi namun pihak pengurusan kelab nekad dengan keputusan mereka.

“AFL menerima dan menghormati keputusan tersebut dengan berat hati dan susulan penarikan diri KK BRM FC, semua perlawanannya dibatalkan serta dianggap tidak sah termasuklah semua mata dan gol yang telah dimainkan sebelum penarikan diri secara rasmi KK BRM FC,” kata Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!