MB puji Ansara Kedah adakan kempen derma darah
ALOR SETAR - Orang ramai disaran untuk terus menderma darah pada setiap masa dengan menyertai kempen yang dianjurkan oleh badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan bekalan darah di negara ini sentiasa cukup.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, bekalan darah di hospital sentiasa berkurangan setiap kali Ramadan disebabkan penderma yang aktif dari mereka yang beragama Islam tidak menderma darah sepanjang bulan itu.
Menurutnya, usaha yang dilakukan Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains Mara (Ansara) Negeri Kedah yang menganjurkan Kempen Derma Darah Pra Ramadan Ansara 2019 wajar dipuji sebagai persediaan awal untuk mengumpul bekalan darah.
"Kita terhutang budi kepada yang bukan Islam kerana terus menderma untuk menambah bekalan darah pada bulan puasa namun ia dilihat masih mencukupi dan sebab itu kempen seumpama ini diwujudkan.
"Pada hari ini dan esok diadakan kempen bukan sahaja di Alor Setar tetapi juga di tiga lokasi lain di Kedah iaitu Langkawi, Sungai Petani dan Kulim.
"Program ini memberi tumpuan kepada lokasi yang mempunyai penduduk yang padat dengan harapan agar ramai yang datang menderma darah sebagai bekalan sepanjang Ramadan yang akan bermula beberapa hari lagi," katanya semasa merasmikan kempen tersebut di Aman Central, dekat sini.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Syed Shaharuddin Syed Abdullah dan Exco Kesihatan Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh.
Mukhriz yang juga Penaung Ansara Kedah berkata, kempen tersebut telah memasuki tahun keempat di Kedah manakala di peringkat kebangsaan pula adalah kali ke-12 yang diadakan.
"Usaha ini merupakan satu langkah yag bermakna kerana sepanjang bulan puasa jumlah menderma kurang namun keperluan kepada bekalan darah masih meningkat," katanya.
Dalam pada waktu yang sama, Mukhriz turut menekankan kepentingan pendermaan organ kepada masyarakat yang beragama Islam kerana masih kurang kesedaran.
"Satu lagi komitmen dari semua pihak yang diharapkan adalah menderma organ. Umat Islam masih lagi ada yang salah faham fikir bila meninggal dan menderma organ nanti tidak cukup sifat.
"Pemahaman ini salah kerana sudah difatwakan diharuskan untuk derma organ.
"Satu tindakan mengisi borang menderma organ boleh menyelamatkan bukan satu tapi ramai orang dan ini satu perkara yang saya galakkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!