Warga emas cari adik-beradik berlainan agama terpisah sejak kecil

Zaleha (kiri) bersama dua orang anak dan suaminya menunjukkan gambar ibu bapa angkatnya ketika ditemui di rumahnya di
Kampung Tanjung Minyak pada Rabu.
Zaleha (kiri) bersama dua orang anak dan suaminya menunjukkan gambar ibu bapa angkatnya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tanjung Minyak pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Seorang warga emas dari Kampung Tanjung Minyak di sini, tekad mencari adik-beradik kandung berlainan agama yang terpisah sejak kecil lagi.

Endon Hassan, 80, berkata, ketika bayi dia telah diserahkan kepada ibu angkat berbangsa Melayu yang menetap di Pulau Sebang, Tampin Melaka.

Menurutnya, hanya beberapa kali sahaja ibu angkat bercerita mengenai latar belakang keluarga asalnya, menyebabkan dia sukar untuk mencari keluarga kandung sehinggalah ibu angkat meninggal dunia pada tahun 1994.

Katanya perkahwinan pertama ibu angkat tidak dikurniakan anak sehinggalah bapa angkat meninggal dunia dan ibu angkat berkahwin lain.

"Arwah (ibu angkat) pernah cerita ketika dia dan suami tidak mempunyai anak, orang kampung bersimpati dan beritahu ada orang mencari keluarga angkat kepada bayi yang baru lahir.

"Kemudian ibu bapa angkat mengambil saya, tidak lama selepas itu suami arwah meninggal dunia, dan arwah seorang diri membesarkan saya hingga berusia tujuh tahun sebelum berkahwin baharu," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Rabu.

Tambahnya, dengan keadaan semakin uzur, dia berharap sebelum meninggal dunia impiannya untuk bertemu keluarga kandung tercapai.

Sementara itu, Zaleha Yahya,63, anak kepada Endon berkata, biarpun tahap kesihatan ibu tidak seperti dulu namun ingatannya masih kuat dan sehingga sekarang masih mengingati maklumat yang disampaikan ibu angkatnya.

Menurutnya, pernah mereka sekeluarga mencari keluarga kandung ibu di Pulau Sebang sekitar tahun 1993 namun malangnya penduduk yang mengenali mereka memaklumkan keluarga tersebut sudah lama berpindah ke Batu Pahat.

Katanya, adik beradiknya yang lain pernah melihat surat lahir ibunya tercatat nama Chan Ah Moi namun surat lahir itu hilang setelah mereka berpindah randah dan tidak membuat permohonan baharu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)

"Jadi kami adik-beradik juga buntu cara bagaimana untuk membantu mencari keluarga asal ibu.

"Sekarang ibu sudah tua, mungkin adik beradik ibu masih ada, jika diizinkan ALLAH, boleh kami bertemu semasa perayaan, sudah memadai," katanya.

Sesiapa yang tahu atau mengenali keluarga ' Chan' berkenan boleh menghubungi Endon ditalian 06-3350795 atau Zaleha Yahya 010-8224272.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!