Skuad taekwondo dapat sentuhan Korea
SKUAD taekwondo bakal mendapat sentuhan Korea Selatan apabila bekas juara dunia dari negara kimchi itu akan menurunkan ilmunya kepada atlet negara.
Mengesahkan perkara itu, Setiausaha Agung Taekwondo Malaysia (TM), R. Dhanaraj berkata, mereka ialah Lee Woo Jin dan Kim Jin Man yang akan membantu atlet negara bagi meningkatkan teknik dalam kategori freestyle poomsae.
Katanya, persatuan terpaksa mendapatkan kepakaran Korea kerana pada Sukan Asia Hangzhou atlet yang bersaing bagi kategori poomsae perlu beraksi dalam dua jenis kategori iaitu freestyle dan tradisional.
“Kategori poomsae, atlet perlu bertanding dalam dua acara iaitu freestyle dan tradisional untuk mendapatkan satu pingat. Ini bermaksud seorang atlet akan beraksi kedua-dua kategori berkenaan.
“Disebabkan, freestyle lebih kepada akrobatik, jadi kita akan jemput jurulatih khas Korea yang memang pakar dalam acara ini. Woo Jin dan Jin Man dari Korea ini adalah bekas juara dunia dan mereka akan bantu atlet negara selama sebulan,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan atlet ke Sukan Asia bersama Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada Selasa.
Menurut Dhanaraj, dua jurulatih itu akan tiba di Malaysia pada Sabtu dan mereka akan bantu atlet negara selama sebulan.
“Atlet kita akan ambil bahagian dalam kejohanan dunia di Korea Selatan pada 5 hingga 10 Ogos ini dan mereka akan terus berlatih di sana selama tiga minggu sebelum pulang ke Malaysia untuk persiapan ke Sukan Asia,” katanya.
Pada mesyuarat itu, beliau menjelaskan MOM bersetuju menghantar tiga atlet ke temasya empat tahun sekali itu.
Katanya, dua atlet dari disiplin poomsea iaitu Nur Humairah Abdul Karim dan Jason Loo layak untuk ke Sukan Asia kerana mempunyai prestasi dan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh MOM selepas meraih pingat perak dan gangsa dalam kejohanan dunia tahun ini.
“Kita juga sedang berusaha untuk memastikan seorang lagi atlet taekwondo, Syafiq Zuber yang meraih emas acara kyorugi pada Sukan SEA Kemboja baru-baru ini tersenarai ke Sukan Asia nanti.
“MOM mempertikai kedudukan Syafiq ke Sukan Asia. Pihak persatuan akan buat rayuan supaya Syafiq diserapkan ke Sukan Asia atas tiket kategori B1,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!