Warga asing ditahan raba pengunjung pasar malam
IPOH - Polis menahan seorang lelaki warga asing yang disyaki mencabul kehormatan seorang wanita di tapak pasar malam Taman Perpaduan, Tambun di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, suspek, 20, ditahan selepas menerima laporan daripada mangsa berusia 36 tahun.
"Polis berjaya memperoleh perintah tahan reman selama tiga hari sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana cabul kehormatan.
"Dengan tertangkapnya suspek, kes ini berjaya diselesaikan. Polis akan melengkapkan siasatan dan merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk cadangan pertuduhan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Terdahulu, tular video berdurasi 14 saat memapar tangkapan terhadap suspek dipercayai meraba seorang wanita warga tempatan.
Suspek berjaya ditangkap oleh pengunjung dan urusetia tapak pasar malam berkenaan sebelum menyerahkannya kepada pihak polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!