Empat suspek kes buli ditahan di Kota Samarahan
KUCHING - Polis Sarawak menahan empat suspek kes buli melibatkan pelajar Tingkatan Satu di Kota Samarahan susulan satu rakaman video berdurasi 47 saat yang tular di media sosial, Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, Deputi Superintenden Brodie Brangka berkata, pihaknya telah menerima laporan kejadian tersebut yang dibuat oleh mangsa pada hari sama dan siasatan lanjut telah dijalankan.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di belakang blok kedai Taman Desa Permai, Kota Samarahan. Seorang pelajar Tingkatan Satu sekolah tersebut telah dipukul oleh empat orang pelajar lelaki dari sekolah sama.
"Kesemua suspek telah dikenal pasti dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan untuk siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak sekolah juga telah dimaklumkan mengenai kejadian terbabit dan meminta orang awam tidak menyebarkan rakaman video tersebut serta membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu agar tidak mengganggu siasatan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!