Polis serbu 'calling centre', 19 ditahan tipu tawaran kerja
KAJANG - Seramai 19 individu warga China dan Vietnam diberkas dalam serbuan di sebuah premis dipercayai pusat panggilan penipuan dalam talian di sebuah rumah, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kesemua suspek diberkas menerusi serbuan dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Risikan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Kajang.
"Tangkapan melibatkan seorang lelaki warga China dan 18 individu termasuk enam wanita warga Vietnam.
"Sebanyak 15 set komputer pelbagai jenama, 35 unit telefon bimbit pelbagai jenis, satu unit passport dan satu set kunci rumah bersama alat kawalan jauh turut dirampas dalam serbuan itu," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Katanya, pusat panggilan tersebut dipercayai menjalankan kegiatan penipuan tawaran kerja sambilan yang tidak wujud dengan menyasarkan mangsa daripada warga Vietnam.
"Mangsa akan dihubungi dengan menggunakan platform sosial berpangkalan di Vietnam seterusnya ditawarkan kerja sambilan dengan membuat tugasan pembelian melalui menerusi laman sesawang yang disertakan," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Kajang untuk permohonan tahanan reman untuk siasatan lanjut.
"Orang ramai diingatkan agar tidak bekerja dengan sindiket penipuan dalam talian sekaligus menjadikan pekerjaan itu sebagai sumber pendapatan," katanya.
Ujar Mohd Zaid, pekerjaan seperti ini adalah satu kesalahan jenayah dan mereka yang terlibat boleh dituduh di mahkamah.
"Polis akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana sindiket penipuan atas talian yang cuba menjadikan daerah Kajang khasnya dan Selangor amnya sebagai hub atau pusat aktiviti jenayah penipuan atas talian.
"Orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penipuan dalam talian ini boleh menghubungi talian hotline IPD Kajang di talian 03-89114242," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!