Bekas pengadil kebangsaan, antarabangsa meninggal dunia
KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) mengucapkan takziah buat ahli keluarga bekas pengadil ragbi kebangsaan dan antarabangsa, Allahyarham Firdaus Sani Shaari yang menghembuskan nafas terakhirnya pada Rabu.
Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KPM), Datuk Shahrul Zaman Yahya juga menyifatkan pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat keluarga besar ragbi Malaysia.
"Allahyarham merupakan antara individu yang banyak berbakti dan berjasa terhadap pembangunan sukan ragbi negara menerusi komitmen dalam dunia ke pengadilan serta pembangunan modal insan sukan ini.
"Mengenai kebajikan keluarga Allahyarham, KRM akan membantu berdasarkan kemampuan kewangan persatuan bagi memastikan nasib keluarga arwah sentiasa mendapat pembelaan sewajarnya.
"KRM mengutuskan salam takziah kepada keluarga serta mendoakan roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh," katanya kepada Sukan Sinar.
Terdahulu KRM memaklumkan Allahyarham yang berusia 53 tahun menghembuskan nafas terakhir akibat komplikasi jantung di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh jam 5.40 pagi Rabu.
Sementara itu, menurut anaknya yang dikenali sebagai Alif, jenazah ayahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kepayang, Masjid Taufiqiyah, Ipoh pada jam 12.30 tengah hari Rabu.
"Terima kasih buat semua yang mendoakan dan juga bertanyakan status dari masa ke semasa. Kita doakan semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman," katanya.
Sebagai rekod, Allahyarham yang meninggalkan seorang isteri dan dua anak, merupakan bekas pengarah pengadil Putrajaya, jurulatih perlawanan rasmi (2010 -2023), tenaga pengajar (2010-2023), komisioner perlawanan (2017- 2023), pegawai pertandingan (1990-2016).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!