Jaafar Onn sifatkan Rohana sahabat sejati
SUBANG JAYA - Pelakon dan penyanyi, Jaafar Onn mengakui cukup terkesan dengan pemergian sahabat baiknya, Allahyarham Rohana Jalil, 68, pada Selasa.
Jaafar yang sudah lebih 40 tahun mengenali Rohana atau nama sebenarnya, Dara Abd Jalil, menyifatkan penyanyi itu sebagai seorang sahabat sejati dan tiada ganti.
“Dia seorang sahabat yang memahami siapa diri saya. Malah dalam ramai-ramai artis popular, hanya dia sahaja yang mahu berduet dengan saya. Dia terima saya seadanya.
“Selama bersahabat, saya tak pernah ambil hati dengan apa yang dia cakap pada saya. Kalau ada rasa kecil hati, saya terus buang dan lupakan kerana kami sudah lama kenal, lebih 40 tahun.
“Bukan senang nak cari sahabat yang tahu siapa diri kita. Kadang-kadang ada orang kenal perkotak-katikkan kita, tapi dia tak pernah. Dia suka berterus-terang dan kalau ada yang tak betul, dia tegur dan beri semangat pada saya,” katanya kepada Sinar Harian.
Akui Jafaar, 71, terlalu banyak kenangannya bersama Allahyarham yang amat menggemari asam pedas masakannya itu.
Antara yang paling diingati ketika menjayakan persembahan terakhir bersama penyanyi lagu Rayuanku itu beberapa bulan lalu.
“Saya ada menjayakan persembahan bersamanya di Plaza Masalam beberapa bulan lalu dan pada ketika itu saya tengok dia dalam keadaan sakit yang agak teruk.
“Saya cakap pada dia, kalau sakit kenapa datang, tetapi dia kata datang sebab saya selalu jemput dia buat persembahan. Duit adalah soal kedua, tetapi baginya memenuhi undangan orang adalah lebih utama, apatah lagi bila sudah berjanji.
“Ketika itu saya tengok dia nak berjalan susah dan menyanyi pun sambil duduk. Saya kagum sangat dengan semangatnya,” akui pelakon drama Cili Padi itu lagi.
Jaafar sebelum ini pernah tampil dalam album duet bersama Allahyarham Rohana dan sering menjayakan persembahan pentas bersama.
Terdahulu, ibu kepada pelakon Kilafairy itu disahkan meninggal dunia akibat kebocoran usus di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada jam 11.33 malam Selasa.
Jenazah selamat dikebumikan Tanah Perkuburan Islam USJ22, Subang Jaya, sekitar 11.45 pagi Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Arwah isteri terbaik dalam segala segi' - Suami Rohana Jalil
'Saya reda, sudah buat terbaik ketika hayat mama ada' - Kilafairy
Rakan artis kongsi duka pemergian Rohana Jalil
Jenazah Rohana Jalil disembahyangkan di Masjid Al-Falah
Jenazah Rohana Jalil selamat dikebumikan
Rohana Jalil dalam keadaan lemah - Haiza
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!