'Jika lesen urut kaki, kena betul-betul urut kaki' - MB Kedah

Muhammad Sanusi (tengah) dan Najmi (dua dari kanan) pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman pada Rabu.
Muhammad Sanusi (tengah) dan Najmi (dua dari kanan) pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri tidak akan memperbaharui lesen premis refleksologi di negeri ini sekiranya didapati menyalahgunakan premis untuk kegiatan tidak bermoral.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, ia susulan terdapat laporan berlakunya kegiatan menyalahi peruntukan lesen yang diluluskan dengan berselindung di sebalik pusat refleksologi.

Menurutnya, serbuan dilakukan mendapati bukan sahaja golongan belia terjerumus dalam aktiviti tidak bermoral tersebut, malah segelintir pelajar turut dilaporkan mengunjungi premis berkenaan.

“Saya terima taklimat daripada Datuk Najmi Ahmad (Exco Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia) yang adakan mesyuarat dengan pihak berkuasa termasuk polis, Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa tempahan (PBT) berhubung salah guna premis refleksologi atau pusat urut.

“Kita akan pastikan hanya luluskan lesen pusat refleksologi yang mematuhi syarat. Jika lesen urut kaki, kena betul-betul urut kaki, jangan urut benda lain.

"Sebab ada laporan berlaku aktiviti lain di pusat refleksologi, serbuan telah dibuat ke pusat berkenaan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco terakhir sebelum pembubaran DUN Kedah, di Wisma Darul Aman pada Rabu.

Muhammad Sanusi berkata, pemantauan akan diteruskan secara berkala dan sekiranya kegiatan seumpama berulang dengan menawarkan aktiviti selain daripada yang dilesenkan, lesen premis terbabit tidak akan diperbaharui dan premis tidak lagi dibenarkan beroperasi.

“Kita akan tengok peruntukan bawah undang-undang yang ada untuk hentikan pengeluaran lesen pusat-pusat seperti itu.

"Walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) bubar, namun undang-undang masih berkuat kuasa,” tegasnya.

Sementara itu, Najmi memaklumkan, pihaknya melakukan serbuan di beberapa premis refleksologi dalam minggu ini dan mengesan beberapa premis disyaki melakukan aktiviti tidak bermoral.

"Dalam serbuan itu, kita menahan seorang pekerja warga negara asing yang tidak mempunyai pas perjalanan dan kita serahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

"Pengunjung pusat ini pula ada kalangan belia dan pelajar sekolah, jadi kita bimbang berlakunya perkara tidak bermoral di premis ini," katanya.

Menurutnya, pihaknya akan mengkaji kewajaran untuk membenarkan premis seumpamanya beroperasi dan sekiranya lebih mendatangkan keburukan berbanding kebaikan, langkah drastik seperti tamatkan lesen akan diambil.

“Kewujudan pusat ini adakah beri keuntungan kepada negeri dari segi ekonomi, kesihatan, moral dan sebagainya, kita akan teliti. Jadi ada kewajaran, kita beri kelulusan.

“Kita minta supaya PBT menimbangkan semua aspek sama ada perlu atau tidak diperbanyakkan perniagaan seperti itu,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi turut memaklumkan, kerajaan negeri tidak akan meluluskan program hiburan yang keterlaluan dan tidak sesuai dianjurkan di negeri ini termasuk dalam kawasan institut pengajian tinggi (IPT).

“Kita turut bincangkan program hiburan masih tertakluk mengikut Enakmen Kawalan Hiburan di seluruh negeri termasuk dalam universiti.

"Jika ada acara hiburan, yang tunjuk-tunjuk langit apa semua itu, kalau nak buat, perlu mohon lesen daripada Pegawai Daerah.

"Jika program itu didapati tidak sesuai, kita tak akan luluskan walaupun dalam universiti," tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!