Malaysia tiada kaedah kawal pelarian

Laporan Sinar Harian pada Selasa. - Gambar kecil: Salawati
Laporan Sinar Harian pada Selasa. - Gambar kecil: Salawati
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan kerajaan membuka peluang kepada pelarian Rohingya untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan bukanlah faktor utama golongan itu akan ‘membanjiri’ Malaysia.

Pakar Undang-undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Salawati Mat Basir sebaliknya berkata, ia berlaku disebabkan kelalaian Malaysia yang tidak pernah ada pengawalan pelarian.

Menurut beliau, tidak pernah diketahui setakat mana kawalan pelarian Rohingya yang diterima ke Malaysia dan perkara tersebut menjadi tanda tanya semua pihak.

“Tidak payah kata peluang bagi pelarian Rohingya belajar akan menyebabkan mereka membanjiri negara ini, sedangkan Malaysia sendiri sejak dari dahulu lagi tiada mekanisme pengawalan pelarian.“Kebanjiran bangsa pelarian itu disebabkan kelalaian sendiri (Malaysia).

"Kalau tidak diberi peluang belajar pun mereka tetap ramai di negara ini,” katanya.

Pada Selasa, Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu, soal ancaman kedaulatan negara tidak timbul susulan pelarian Rohingya diberi peluang melanjutkan pengajian di IPT di dalam negara.

Ujarnya, ini kerana sebagai sebuah negara bertamadun, Malaysia diharap untuk membantu pelarian.

Sementara itu, Salawati berkata, Malaysia mungkin merasakan sudah tiba masanya negara memberi peluang kepada pelarian Rohingya yang terpilih untuk menyambung pelajaran di IPT.

“Saya rasa ia lebih kepada insan Malaysia, terpulang kepada tuan rumah untuk beri atau tidak. Dalam hal ini, Malaysia mungkin rasa sudah tiba masanya peluang itu diberikan.

“Kita juga dapat menaikkan imej negara memandangkan kita sangat teruk dihina negara luar berhubung layanan terhadap pelarian Rohingnya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!