Masalah sosial yang tidak berkesudahan

Laporan Sinar Harian baru-baru ini.
Laporan Sinar Harian baru-baru ini.
A
A
A

PADA 31 Mei lalu, media melaporkan mengenai kes bayi lelaki yang baru dilahirkan ditinggalkan di sebuah hentian bas di Taman Kota Wira Kamunting, Taiping.

Bayi seberat 2.6 kilogram itu diletakkan di dalam sebuah kotak dengan anggota badan hanya dibaluti tuala berwarna coklat dan dihurung semut.

Tidak sampai dua minggu, satu lagi kes buang bayi dilaporkan di hadapan pintu utama Masjid An Najihah, Sungai Kepar, Semanggol pada 9 Jun lalu.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), bayi perempuan yang cukup sifat itu ditinggalkan seorang wanita, dipercayai ibunya, di hadapan pintu utama masjid sebelum kaum Adam menunaikan solat Jumaat.

Kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

Kes yang saban bulan dipaparkan di dada akhbar menunjukkan jenayah buang bayi atau menyembunyikan kelahiran ini masih berlaku dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Data statistik PDRM menunjukkan kes buang bayi di seluruh negara mencatatkan 128 kes pada tahun 2018 diikuti 125 kes (2019), 104 kes (2020) dan 86 kes pada tahun 2021.

Berdasarkan jumlah itu, 149 bayi ditemukan masih hidup manakala 294 lagi sudah meninggal dunia.

Dorongan utama kepada perbuatan tanpa belas ihsan itu adalah kerana kehamilan luar nikah yang menyebabkan suspek tanpa berfikir panjang mengambil jalan mudah membuang di pinggir kediaman, bangunan, masjid atau tepi longkang.

Trend masih berleluasa itu sebahagian besar kes yang dilaporkan melibatkan pelaku terdiri daripada golongan remaja serta berusia awal 20-an.

Dengan pendedahan luas kepada media sosial, pendidikan seks yang komprehensif dilihat boleh membantu membendung isu sosial termasuk jenayah buang bayi.

Pada Februari 2019, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menggesa pihak sekolah tidak mengambil mudah terhadap pendidikan seks dalam usaha menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Pendidikan seks diajar di peringkat prasekolah sehingga sekolah menengah sebagai salah satu sukatan pelajaran di bawah Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK).

Selain itu, peti pelindung bayi atau baby hatch merupakan satu kaedah diperkenalkan beberapa tahun lalu yang berjaya menyelamatkan nyawa-nyawa si kecil tidak berdosa.

Walaupun pernah menjadi kontroversi kononnya ia menggalakkan berlakunya kes-kes pembuangan bayi, namun hakikatnya, bayi ditinggalkan itu berpeluang untuk membesar dalam institusi kekeluargaan yang sempurna berbanding ditinggalkan di kaki lima hingga membawa kepada kematian.

Ibu yang meletakkan bayi mereka di peti pelindung bayi juga tidak akan berasa bimbang kerana ia bukan satu perbuatan jenayah.

Keselamatan dan kesihatan bayi mereka juga akan terjamin, sekali gus mendapat perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Terdapat 13 peti pelindung bayi di negara, antaranya Yayasan OrphanCare di Sungai Petani, Kedah; Petaling Jaya, Selangor dan Johor Bahru, Johor.

Peti pelindung bayi turut ditempatkan di beberapa Hospital Pakar KPJ lain termasuk di KPJ Damansara, KPJ Ipoh, KPJ Johor, KPJ Tawakal, KPJ Seremban, KPJ Perdana dan KPJ Pulau Pinang.

Selain itu, Hospital Pakar Kuantan, Pahang; Hospital Pakar Kuching, Sarawak dan Hospital Pakar Damai, Sabah.

Bagaimanapun, ibu bapa perlu bersikap terbuka bagi membincangkan perkara berkaitan batas pergaulan antara lelaki dan perempuan dan agama kepada anak-anak.

Malah, ibu bapa perlu tahu kaedah mengawal akses anak-anak mereka terhadap kandungan internet dan media sosial yang tidak sihat.

Masyarakat pula harus lebih peka dengan masalah sosial golongan remaja dan bersikap lebih proaktif dalam menegur serta mencegah gejala buruk ini.

Tanggungjawab menangani isu ini bukanlah terletak di bahu kerajaan semata-semata, sebaliknya perlu digembleng agar berjaya membentuk modal insan yang lebih baik.

* Noor Ainin Mohamed ialah Wartawan Sinar Harian Perak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!