Peluang pelajar Sabah berdialog dengan pemimpin

Gambar dari kiri: Masiung, Shahelmey
Gambar dari kiri: Masiung, Shahelmey
A
A
A

SHAH ALAM - Program perkongsian ilmu dan interaktif Sinar Harian, Dialog Siswa merupakan platform terbaik kerana konsepnya yang memberikan peluang kepada pemimpin tempatan untuk berinteraksi dengan golongan mahasiswa secara lebih dekat.

Timbalan Ketua Menteri III dan Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, Dialog Siswa juga memberikan peluang kepada pemimpin untuk mendengar suara pelajar yang mengetengahkan pelbagai isu yang dekat dengan mereka.

“Saya sentiasa terbuka untuk berkongsi pandangan dan berdialog dengan pelajar. Saya juga bersedia untuk menjawab soalan yang dikemukakan oleh mereka,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Program Dialog Siswa itu akan diadakan di Dewan Al Bukhari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu, Sabah yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada jam 8.30 malam, Khamis.

Selain Shahelmey, program itu turut menampilkan Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah, Datuk Masiung Banah sebagai panelis dan ia akan dikendalikan oleh anak tempatan, Safwan Sawi.

Shahelmey dan Masiung akan mengupas pelbagai topik berkaitan perumahan, masyarakat, pembangunan dan generasi muda di Sabah.

Kedua-dua panelis bukan sahaja akan berkongsi pandangan dengan pelajar dari UiTM cawangan Sabah dari Kampus Kota Kinabalu malah dari beberapa universiti di sekitar Sabah.

Bagaimanapun, Shahelmey berkata, jawapan yang akan diberikan bergantung kepada kesesuaian soalan dan skop tugasan beliau.

“Saya harap program ini menjadi satu jambatan kepada pelajar dengan kerajaan dalam berkomunikasi perihal isu-isu yang berkaitan,” katanya

Sementara itu, Masiung berkata, program Dialog Siswa memberikan peluang kepada beliau untuk mendengar pandangan anak muda dalam mengupas isu domestik di Sabah kerana pandangan mereka akan mempengaruhi kerajaan dalam membuat keputusan.

“Saya bersedia berkongsi informasi dan membetulkan isu melibatkan perumahan dan komersial yang berkait rapat dengan LPPB Sabah.

“Jika ada soalan agak panas, kita bersedia untuk menjawab dan memberikan maklum balas yang terbaik terhadap isu yang dibangkitkan,” ujarnya.

Tambahnya, pelajar hari ini adalah golongan pelapis yang bakal menerajui kepimpinan negara pada masa depan.

“Sudah tentu kita sebagai pemimpin di peringkat negeri akan memberi suntikan semangat kepada mereka untuk mempunyai keterampilan dan bersedia menggalas tanggungjawab sebagai bakal pentadbir kerajaan dan pemimpin negara,” jelasnya.

Sebelum ini, dua edisi Dialog Siswa menampilkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!