Para agamawan selebriti elaklah mengundang fitnah
MERAK Jalanan sebetulnya tak berapa selesa apabila ada golongan agamawan terpalit kontroversi lebih-lebih lagi jika mereka bergelar ustaz selebriti.
Bagi Merak Jalanan, gelaran ustaz adalah sesuatu yang mahal dan mulia. Tak patut mereka menjadi bahan sindiran kerana yang akan nampak buruk bukan nama mereka sahaja tapi juga agama kita.
Nak dijadikan cerita, sehari dua ini kecoh di media sosial apabila seorang ustaz hadir ke majlis resepsi perkahwinan pasangan selebriti di sebuah resort terkemuka.
Netizen rata-rata meluahkan rasa segan melihat kehadiran agamawan itu untuk membaca doa dalam majlis yang bertema ala kebaratan.
Tentulah nampak janggal jika seseorang yang berjubah dan berkopiah berada di tengah-tengah tetamu dan pengantin yang tidak menutup aurat serta berpakaian seksi.
Ustaz berkenaan sudah pun menjelaskan dia hadir sekadar meraikan hukum undangan kenduri kahwin yang wajib untuk dipenuhi. Pasangan pengantin itu juga telah memohon maaf atas insiden tersebut.
Sebenarnya situasi sebegini biasa berlaku dalam masyarakat kita. Niat tuan rumah pastilah baik. Mereka mahu mendapat keberkatan dengan mengundang ustaz, malah mufti untuk berdoa, berselawat dan kadangkala membaca al-Quran. Tetapi jagalah adab.
Tak kena kalau ustaz berdoa tetapi pengantin berpakaian tidak menepati syariat. Merak Jalanan juga memahami perasaan tidak selesa ustaz jemputan jika selepas bacaan doa, majlis mula dipenuhi dengan acara lagha dan berunsur maksiat.
Maka para ustaz pula eloklah ambil langkah berjaga-jaga sebelum menerima jemputan. Tak salah kalau bertanya dahulu tentang tema dan atur cara majlis, serta kondisi pakaian pengantin.
Kalau takut terjebak kontroversi, tolaklah jemputan dengan cara baik. Kita bimbang kalau diteruskan, bukan sahaja golongan ustaz dikecam dan kena troll di media sosial, bahkan menimbulkan fitnah terhadap agama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!