'Nasir Besi' tak menang tangan terima tempahan alatan ibadah korban

Nasir menunjukkan antara alatan yang sudah siap dihasilkan di rumahnya di Kampung Gelugur Kedai, di Kuala Terengganu dan akan dihantar kepada pelanggan melalui pos.
Nasir menunjukkan antara alatan yang sudah siap dihasilkan di rumahnya di Kampung Gelugur Kedai, di Kuala Terengganu dan akan dihantar kepada pelanggan melalui pos.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kedatangan Aidiladha tidak lama lagi memberi limpahan rezeki buat tukang besi di Kampung Gelugur Kedai, di sini apabila menerima peningkatan tempahan alatan untuk digunakan ketika ibadah korban.

Nasir Mohamad, 60, atau lebih dikenali dengan gelaran 'Nasir Besi' berkata, permintaan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan itu meningkat selepas beliau menggunakan medium media sosial dengan bantuan anaknya sejak tiga tahun lalu.

"Masa saya tak gunakan media sosial dulu, tempahan diterima agak perlahan dan rata-rata yang menempah merupakan masyarakat setempat yang dah memang tahu saya buat perkhidmatan ini.

"Sekarang perniagaan semakin berkembang dan saya tak menang tangan untuk menyiapkan bilah-bilah pisau yang ditempah pelanggan," ujarnya yang telah bergiat aktif sebagai tukang besi sejak 30 tahun lalu.

Menurut Nasir, tempahan paling tinggi diterima buat masa ini ialah golok tulang atau parang yang digunakan untuk memotong tulang lembu.

Jelasnya, secara purata sebanyak tiga bilah parang dihasilkan dalam tempoh sehari sejak tempahan dibuka pada Ramadan lalu dengan harga serendah RM80 hingga RM140 bagi setiap bilah.

Nasir sedang menyiapkan salah satu tempahan parang oleh pelanggan di rumahnya di Kampung Gelugur Kedai di Kuala Terengganu.
Nasir sedang menyiapkan salah satu tempahan parang oleh pelanggan di rumahnya di Kampung Gelugur Kedai di Kuala Terengganu.

Selain itu, Nasir berkata, beliau juga menerima tempahan berdasarkan rekabentuk yang diingini pelanggan.

"Sebenarnya saya hasilkan semua jenis alatan, parang termasuk lembing dan pedang kecuali keris. Selain keris, semua saya boleh hasilkan sama ada berdasarkan permintaan pelanggan atau alatan yang sudah siap.

"Buat masa ini ada beberapa bilah pisau dan parang yang ditempah khas oleh pelanggan iaitu pisau sembelih dan pisau melapah lembu. Tempahan diterima termasuk sarung dan hulu pisau.

"Harganya pula berbeza dan lebih tinggi berbanding yang lain," katanya yang turut menerima tempahan dari seluruh semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak.

Nasir memberitahu, pendapatan yang diraih juga berganda hasil daripada jualan secara dalam talian melalui media sosial.

"Secara purata saya mampu mendapat sekitar RM5,000 hingga RM6,000 sebulan. Sebelum ini, saya hanya dapat kira-kira separuh daripada pendapatan sekarang.

"Tambahan pula dulu saya hasilkan alatan ini menggunakan tangan sepenuhnya iaitu secara tradisional. Sekarang ni sejak saya sudah ada mesin, ringan sikit penggunaan tenaga malah keluaran pun semakin bertambah dalam satu-satu masa," katanya.

Ditanya keistimewaan alatan besi yang dihasilkan, Nasir berkata, uniknya alatan-alatan itu dihasilkan daripada besi spring lori mercedes.

"Dari segi kualiti alatan ini saya memang jaga sebab pembuatannya dihasilkan dengan penuh teliti termasuk bahan utama yang digunakan iaitu besi.

"Saya pilih besi dari spring lori mercedes sahaja, kalau spring lori biasa saya tak guna sebab kualitinya berbeza. Besi tu saya beli di kedai besi buruk. Kita pilihlah yang mana spring mercedes kita ambil," ujarnya.

Menurut Nasir, sebelum ini beliau menyewa sebuah rumah di Kampung Kedai Buluh di sini untuk dijadikan premis perniagaan bermula tahun 1993 sebelum beroperasi sepenuhnya di rumahnya di Kampung Gelugur Kedai sejak 15 tahun lalu.

Ujar bapa kepada enam anak itu, minat mendalam terhadap seni pembuatan besi kini diwariskan kepada anaknya, Muhammad Al-Hafiz, 24.

"Sebelum ini, saya dibantu oleh anak (Muhammad Al-Hafiz), sekarang ni setelah anak sudah mahir membuat parang dia sudah mula menerima tempahan dan sudah ada pelanggan tersendiri," ujarnya.

Jelas Nasir, dia bangga kerana kepakaran yang diwarisi daripada bapanya, Muhammadi Yaacob yang suatu ketika dahulu dikenali kerana pandai dalam pembuatan senjata kini 'diturunkan' kepada anaknya.

"Saya harap seni pertukangan besi ini tidak terhenti setakat ini sahaja dan akan terus disambung dan diwarisi kepada. generasi-generasi akan datang," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!