Orang Asli Pasir Puteh rayu selesai masalah bekalan air
PASIR GUDANG - Penduduk di Kampung Orang Asli Pasir Puteh di sini terpaksa mengangkut air menggunakan baldi dan botol lebih tiga kali sehari untuk mendapatkan air bagi kegunaan harian.
Seramai 130 penduduk dari 30 rumah di kampung itu mendapatkan sumber air tersebut menerusi satu paip besar yang disediakan pihak Ranhill SAJ Sdn Bhd (Ranhill SAJ) terletak hampir satu kilometer dari kawasan berkenaan.
Menurut Kamal Entel, 41, penduduk menyediakan satu tangki air dari paip besar tersebut yang terletak kira-kira 30 sehingga 100 meter dari rumah masing-masing bagi memudahkan dan memastikan jarak mengambil air lebih dekat.
"Inilah cara penduduk di sini yang merupakan Orang Asli Seletar mendapatkan bekalan air bersih untuk minum, masak, mandi, mencuci pakaian dan sebagainya. Kami tidak ada meter air di rumah kerana tiada bekalan air disalurkan terus dari pihak SAJ.
"Sebelum ini bekalan air diperoleh dari paip besar tersebut yang mempunyai sistem perpaipan disalurkan terus ke semua 30 rumah di kampung ini tetapi sejak lebih tiga bulan lalu bekalan air sudah tidak ada lagi.
"Ini kerana tekanan air sangat rendah selain mungkin penggunaan air di kawasan sekitar paip besar tersebut sudah semakin tinggi," katanya ketika ditemui pemberita pada Rabu.
Bapa kepada tiga anak dan bekerja sebagai nelayan itu berkata, masalah tersebut amat menyukarkan penduduk kerana mereka perlu menunggu giliran dan kadang-kadang bersesak untuk mengambil air di kawasan tangki berkenaan.
Bagi suri rumah hanya mahu dikenali sebagai Maya, 39, dia terpaksa mengambil air tiga kali sehari termasuk apabila diperlukan pada jam 12 tengah malam di kawasan tangki air itu yang terletak di tebing sungai dalam kawasan belukar.
"Keadaan ini amat berbahaya pada waktu malam kerana kawasan di situ gelap, ada binatang berbisa selain cerita mistik.
"Itu belum dikira jika ada kematian apabila jenazah perlu dimandikan, majoriti penduduk di kampung ini beragama Islam," kata ibu kepada 10 anak itu.
Saripah Rosiah Said Mahmud, 47, penduduk terpaksa membawa pakaian ke kawasan tangki air tersebut untuk membasuh kerana mesin basuh di rumah tidak dapat digunakan kerana tiada bekalan air.
"Dalam keadaan cuaca panas seperti hari ini, penduduk mandi di kawasan tangki air tersebut termasuk pada waktu malam," ujarnya.
Dia yang mempunyai tiga anak dan bekerja di tempat ternakan kupang di kampung itu mengakui, terpaksa membeli air bersih dari kedai runcit selain menadah air hujan untuk mendapatkan sumber air.
Seorang lagi penduduk, Awih Anak Gudang, 42, berkata, ketika ini setiap ketua keluarga kampung tersebut berkongsi membayar bil air yang digunakan dari paip besar tersebut antara RM60 sehingga RM100 sebulan.
Dia yang bekerja sebagai nelayan berkata, masalah itu sudah diajukan kepada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan juga menghantar surat permohonan ke Pejabat Menteri Besar Johor sejak 2013 tetapi tiada tindakan.
Awih berkata, SAJ dikatakan susah untuk menyediakan bekalan air ke setiap rumah kerana status tanah di kampung tersebut dikatakan milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Johor Corporation (JCorp).
Sementara itu, Tok Batin kampung tersebut, Entel Burok, 77, mahu pihak Jakoa dan kerajaan negeri segera mencari penyelesaian masalah tersebut kerana penduduk sudah tidak sanggup lagi berdepan situasi tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!