Lelaki 'berselimut' curi beg imam ketika solat subuh

Rakaman CCTV ketika suspek yang berselimut masuk ke dalam surau. - Foto Rafika Fitri
Rakaman CCTV ketika suspek yang berselimut masuk ke dalam surau. - Foto Rafika Fitri
A
A
A

JEMPOL- Seorang warga emas kehilangan dokumen penting termasuk kad bank dan wang tunai RM150 selepas beg silang miliknya dicuri lelaki 'berselimut' ketika solat subuh di Surau Kampung Indah, Bahau di sini dalam kejadian awal pagi Rabu.

Perbuatan suspek berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) surau berkenaan setelah mangsa Abdul Rahman Salimap, 68, menyedari begnya tiada.

Menurut anak tiri mangsa, Rafika Fitri Masweldi, 33, bapanya itu sering menunaikan solat lima waktu di surau berkenaan dan ia merupakan kejadian kelima membabitkan jenayah curi dan pecah tabung surau di situ.

"Kejadian kira-kira jam 6 pagi, ketika itu ayah jadi imam dan ada jemaah wanita di belakang tabir, bagaimanapun ayah sedar ada kelibat belakangnya namun beranggapan ada jemaah lain datang hendak solat.

"Selesai solat, beg yang diletakkan di tepi sudah hilang, lalu ayah memaklumkan perkara itu kepada imam surau sebelum memeriksa CCTV," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Ujarnya, selain kad bank dan wang tunai, turut berada dalam beg berkenaan adalah lesen memandu, kad pengenalan serta beberapa dokumen lain.

Katanya, wang berkenaan sepatutnya digunakan untuk membeli ubat berikutan kesihatan bapanya tidak begitu baik termasuklah penglihatannya.

"Dalam bank ada juga duit namun kami sudah 'block' kad berkenaan. Saya berharap pelaku dapat ditangkap kerana bukan senang untuk mencari wang zaman ekonomi tidak menentu ini.

"Tambahan pula dengan keadaan kesihatan ayah yang sudah uzur... saya berharap orang ramai akan lebih berhati-hati walaupun berada dalam surau ataupun masjid," katanya yang telah membuat laporan polis di Balai Polis Bahau pada Rabu.

Dalam pada itu, berdasarkan perkongsian rakaman CCTV yang dimuat naik Rafika Fitri di Facebook memaparkan seorang lelaki dilihat masuk ke dalam surau dengan menutup muka dan badannya menggunakan kain dipercayai selimut.

Lelaki berkenaan kemudiannya mencapai beg silang di bahagian tepi surau sebelum keluar.

Sementara itu, Ketua Polis daerah Jempol,Superintenden Hoo Chang Hook ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!