Ranking dunia Azizulhasni naik
KEJAYAAN jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mencipta sensasi pada Kejuaraan Lumba Basikal Trek Asia 2023 di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan menjelmakan perkhabaran gembira kepada ranking atlet program Road To Gold (RTG) tersebut.
Pelumba kelahiran Terengganu itu menyatakan rasa puas dengan pencapaian tersebut selepas melalui pelbagai cabaran musim ini.
"Assalamualaikum, selamat pagi semua. Ada sedikit berita gembira yang saya nak kongsikan dengan anda semua pagi ini.
"Syukur, alhamdulillah. Ranking dunia semasa saya telah naik beberapa anak tangga. Seperti gambar dikongsikan kepada semua, ranking dunia saya sekarang adalah Keirin - 3 manakala Individual Sprint - 6.
"Sedikit sebanyak ini memberikan suntikan semangat untuk beraksi di Kejohanan Dunia di Glasgow nanti dan juga langkah yang amat positif di dalam proses kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
"Terima kasih tidak terhingga di atas sokongan dan doa daripada anda semua. Malaysia Boleh," katanya.
Sebagai rekod, Azizulhasni mencipta magis tersendiri apabila menyambar 12 pingat emas peribadi dalam edisi tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!