Penggantian Acryl Sani tidak kontroversi - Saifuddin Nasution
PUTRAJAYA - Seorang pegawai polis mahupun penjawat awam yang dilantik secara kontrak boleh ditamatkan atau dipendekkan perkhidmatannya pada bila-bila masa, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, sehubungan itu, soal penggantian jawatan Ketua Polis Negara (KPN) yang sebelum ini disandang oleh Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani kepada Timbalannya, Tan Sri Razarudin Husain ialah satu proses biasa.
"Tiada kontroversi. Saya sendiri sebelum ini dititah menghadap Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah), kemudian diikuti Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan perkara ini diuruskan dengan baik sekali.
"... saya juga telah bercakap dengan Tan Sri Acryl Sani... dan esok (Khamis) kita akan melakukan majlis serah terima tugas di Pulapol (Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur), jadi tiada apa-apa yang kontroversi,” katanya pada Sesi Eksklusif Editor Media Bersama Menteri Dalam Negeri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini, pada Rabu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tentang pelantikan Razarudin sebagai KPN yang baharu menggantikan Acryl Sani berkuat kuasa esok seperti yang diumumkan beliau dalam satu kenyataan pada Rabu.
Acryl Sani sebelum ini dilantik sebagai KPN secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa pada 4 Oktober 2021 selepas beliau bersara dan sepatutnya tamat Oktober tahun ini.
Saifuddin Nasution menjelaskan secara pirinsipnya, sesiapa sahaja pegawai polis yang berpangkat Komisioner Polis (CP) layak untuk dilantik sebagai KPN mahupun Timbalan Ketua Polis Negara.
"PDRM mempunyai seramai 25 pegawai berpangkat CP. Mereka ini ialah kelompok bakat untuk menjawat dua jawatan ini, ketika ini mereka menduduki jabatan-jabatan yang ada di Bukit Aman, menjadi Ketua Polis Negeri atau berada di cawangan khas.
"Pada masa yang sama, kita ada 47 pegawai polis berpangkat Timbalan Komisioner Polis (DCP), inilah bakat pegawai polis yang ada yang akan dilibatkan jika ada penggantian untuk jawatan,” katanya.
Beliau berkata, mereka akan dinilai berdasarkan beberapa kriteria termasuk integriti, kefahaman yang baik tentang keamanan dan ketenteraman awam, selain pengalaman dan kelulusan akademik.
Sementara itu, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap Acryl Sani atas khidmat yang diberikan sepanjang menjadi Ketua Polis Negara.
"Saya selesa dengan tahap kerjasama dengannya, dia sangat kondusif, tidak susah bekerja dengan beliau yang banyak menguruskan tentang soal keamanan dan ketenteraman awam secara profesional sepanjang pasukan polis berada di bawah kepimpinannya,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!