Kastam Kelantan rampas rokok seludup RM1.1 juta
KOTA BHARU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas rokok seludup bernilai RM1.1 juta termasuk cukai dalam dua serbuan berasingan pada 15 Jun lalu.
Dalam serbuan di Tumpat dan Kota Bharu itu, empat lelaki turut ditahan bagi membantu siasatan berkait dengan rampasan terbabit.
Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, dalam serbuan pertama di Tumpat pada jam 8.30 pagi, pihaknya telah menahan seorang suspek dan merampas 115 peti rokok seludup.
"Pemeriksaan ke atas kotak-kotak itu membawa kepada penemuan 150,000 batang rokok seludup. Pada masa yang sama, kita turut menyita tiga buah lori dipercayai digunakan untuk aktiviti penyeludupan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, pada hari yang sama, bertindak atas maklumat sepasukan anggota kastam telah melakukan serbuan di sebuah rumah di kawasan Kota Bharu.
Ujarnya, serbuan itu membawa kepada rampasan 421,800 batang rokok seludup dan tangkapan dua suspek yang dipercayai terlibat dengan aktiviti tersebut.
Beliau memberitahu, selain itu sebuah lori dan dua buah kenderaan pelbagai guna (MPV) turut dirampas.
"Siasatan awal mendapati modus operandi yang digunakan adalah membawa masuk rokok-rokok tersebut dari negara jiran melalui jalan laut atau sungai untuk diedarkan ke luar Kelantan.
"Kesemua kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!