Dua warga emas rugi RM10,000 ditipu 'orang menteri'
KUALA SELANGOR - Dua ibu tunggal warga emas mendakwa mengalami kerugian lebih RM10,000 selepas diperdaya seorang lelaki yang menyamar sebagai 'orang menteri' pada Jumaat lalu.
Shaidah Hamid, 71, dan rakannya, Saamah Basri, 72, masing-masing menetap di Batu 8, Kampung Asahan di sini didatangi suspek kononnya untuk menguruskan bantuan.
Shaidah berkata, kejadian kira-kira jam 11 pagi itu berlaku ketika dia sedang berehat di luar rumahnya sebelum ditegur seorang lelaki tidak dikenali.
"Lelaki itu datang ke rumah saya dan mengaku sebagai 'orang' kepada seorang menteri dan mahu menguruskan bantuan makanan dan wang.
"Saya percayakan lelaki itu kerana biasa orang datang ke rumah untuk memberi bantuan.
"Saya tidak mengesyaki apa-apa dan kemudian menaiki keretanya menuju ke rumah Saamah terletak kira-kira 100 meter bagi tujuan sama," katanya ketika ditemui di kediamannya pada Khamis.
Menurut Shaidah, lelaki yang memandu kereta itu kemudian membawa mereka berdua ke 'pejabat menteri' di Pekan Bestari Jaya.
Katanya, sejurus tiba di parkir kawasan itu, lelaki berkenaan meminta supaya memberi semua barang kemas dengan alasan mahu menimbang bagi proses penilaian zakat.
"Waktu itu, saya percayakan lelaki itu berniat baik dan menyerahkan satu gelang tangan dan dua cincin serta kad pengenalan," ujarnya.
Jelas Shaidah, Saamah pada ketika itu turut menyerahkan satu gelang tangan dan cincin sebelum mereka diminta menunggu di sebuah restoran berdekatan.
"Dia sempat bawa kami ke restoran dan meninggalkan kami kononnya untuk naik ke tingkat atas pejabat menteri.
"Namun, saya mula curiga kerana lelaki itu masih tidak muncul selepas lebih sejam dan mendapati keretanya sudah tiada di tempat parkir.
"Ketika itu baru tersedar kami mungkin ditipu lelaki tersebut dan segera menghubungi seorang jiran meminta anaknya mengambil kami yang ketika itu tidak membawa wang," katanya.
Sehubungan itu, katanya, satu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada hari sama.
Saamah berkata, meskipun kehilangan barangan kemas, namun dia bersyukur mereka terselamat dan tidak dicederakan lelaki tersebut.
"Paling penting nyawa kami selamat dan mujur kami tidak ditinggalkan di hutan atau kawasan lain.
"Saya berharap orang ramai berwaspada bagi mengelak menjadi mangsa seperti kami," jelasnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Beliau memberitahu, seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes itu ditahan kira-kira jam 4 petang Rabu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan akan memberi laporan penuh menerusi kenyataan media petang ini," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!