Southampton pertaruh magis Martin kembalikan status elit

Martin
Martin
A
A
A

KELAB Liga Kejuaraan, Southampton melantik pengendali berpengaruh Russell Martin sebagai pengurus baharu The Saints dengan kontrak tiga tahun selepas bekas pemain pertahanan itu meninggalkan Swansea City, kata kelab yang diturunkan pangkat dari Liga Perdana Inggeris itu.

Pemilihan pengendali berusia 37 tahun itu menyaksikan dia diamanahkan untuk membawa kelab yang beraksi di Stadium St Mary's tersebut kembali ke liga teratas England musim depan.

“Sejujurnya merupakan satu keistimewaan untuk menerima peluang ini di Southampton, sebuah kelab yang mempunyai sejarah yang begitu panjang dalam liga Inggeris.

"Matlamat saya adalah untuk mengembalikan kelab ini ke tempat asalnya - dalam liga utama bola sepak Inggeris. Saya bersedia untuk cabaran ini dan akan memberikan segala-galanya untuk mencapai matlamat ini dan untuk memberikan penyokong pasukan sesuatu yang membanggakan mereka,” kata Martin.

Sebagai rekod, Martin mengambil alih The Swans menjelang kempen 2021-22 memimpin kelab Wales itu ke tangga ke-15 pada musim pertamanya.

Swansea City kemudiannya memperbaiki kedudukan apabila apabila mengakhiri cabaran di tempat ke-10 musim lalu, hampir kehilangan tempat playoff dengan tiga mata.

Martin yang lebih gemar kepada gaya bola sepak Barcelona dan Manchester City, berjaya mempraktikan gaya permainan sama di Swansea apabila secara rutin mendominasi penguasaan bola dalam saingan Liga Kejuaraan.

"Dia sangat sesuai untuk apa yang kami cuba capai, dengan rekod kukuh dalam membangunkan dan memupuk pemain muda yang berbakat untuk memenuhi potensi mereka serta memberikan keputusan di padang," kata pengarah baharu bola sepak Saints, Jason Wilcox.

Sebagai rekod, Martin mempunyai baki kontrak lebih setahun bersama Swansea setelah setelah menandatangani perjanjian tiga tahun pada 2021.

"Kelab ini juga berpegang teguh dengan kepercayaan bahawa kami terhutang pampasan penuh untuk Russell, dan kami akan terus bekerja dengan tekun dan strategik untuk melindungi kepentingan terbaik kelab," kata Swansea.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!