MPAJ buru premis culas bayar cukai taksiran
AMPANG - Sebanyak lima premis diserbu Jabatan Hasil Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) selepas dikesan mempunyai tunggakan cukai taksiran bernilai lebih RM 45,000.
MPAJ dalam satu kenyataan berkata, pemeriksaan dijalankan selepas pemilik premis gagal mematuhi notis peringatan melalui Borang E yang diserahkan Mac lalu.
Menurutnya, sebanyak RM15,140 berjaya dikutip di premis terletak di Taman Industri Lembah Jaya, Taman Industri, Kampung Tasek Tambahan dan Taman Kencana hasil operasi tersebut.
"Daripada operasi tersebut, satu premis telah membuat bayaran penuh sebanyak RM 4,695 manakala tiga pemilik lain bersetuju untuk menjelaskan tunggakan secara ansuran berjumlah RM 9,444.
"Sementara itu, sebuah lagi premis didapati tutup sewaktu pemeriksaan dijalankan namun telah ditampal Borang F untuk tindakan susulan," katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Justeru, MPAJ memgingatkan semua pemilik harta memastikan tunggakan cukai taksiran telah dijelaskan bagi mengelak tindakan sita diambil ke atas premis masing-masing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!