PRN: UMNO usaha kekal tanding di kerusi tradisi
PASIR GUDANG - UMNO akan berusaha untuk kekal bertanding di kerusi-kerusi tradisi mereka pada pilihan raya di enam negeri akan datang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun berkata, jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti itu pada pilihan raya negeri (PRN) masih belum diputuskan.
"Saya tidak ada 'figure' (jumlah kerusi DUN yang akan ditandingi UMNO) kerana tidak terlibat dalam soal pengagihan kerusi, berapa kerusi itu biar (pucuk pimpinan tentukan).
"Bagi UMNO kita akan berusaha (kekal bertanding) mana-mana kerusi yang jadi kerusi tradisi kita," katanya mengulas berkenaan jumlah kerusi yang akan ditandingi parti itu pada PRN di enam negeri tidak lama lagi.
Beliau yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan kerja ke Politeknik Ibrahim Sultan (PSI) di sini pada Khamis.
Mengenai isu pertindihan sembilan kerusi antara BN dan Pakatan Harapan (PH) di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu, Mohamed Khaled berkata, rundingan kini di peringkat akhir.
Jelasnya, banyak kerusi telah dimuktamadkan dan hanya beberapa kerusi belum selesai rundingan, perkara itu akan ditentukan pucuk pimpinan antara parti-parti yang terlibat.
Tambah beliau, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat keputusan nanti.
Pada Ahad, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sembilan kerusi tersebut akan dimuktamadkan di peringkat presiden parti dalam masa terdekat untuk diperincikan.
Menurut Asyraf, perundingan pembahagian kerusi itu berjalan lancar dan harmoni sekali gus menepis persepsi negatif terhadap Kerajaan Perpaduan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!