Sidang Kemuncak Istanbul September atau Oktober ini

Pertemuan antara Dr Mahathir an Erdogan di Kompleks Presiden, Angkara, Turkiye.
Pertemuan antara Dr Mahathir an Erdogan di Kompleks Presiden, Angkara, Turkiye.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju untuk mengadakan Sidang Kemuncak Istanbul pada September atau Oktober tahun ini.

Perkara tersebut disampaikan dalam pertemuan yang berlangsung selama sejam di Kompleks Presiden, Angkara, Turkiye dan perbincangan menumpukan perkara dijalankan semasa Sidang Kemuncak KL pada 2019.

Erdogan turut mencadangkan, Dr Mahathir dan pasukan Sidang Kemuncak KL bekerjasama dengan pihak Turkiye dalam cadangan Sidang Kemuncak Istanbul akan datang.

“Persidangan ini adalah bagi meneroka lagi potensi yang telah dikenal pasti dan meneruskannya semasa Sidang Kemuncak Istanbul akan datang.

“Memandangkan perkembangan pesat dan kemajuan Turkiye dalam pelbagai bidang boleh dijadikan sebagai contoh kepada negara Islam lain,” kata kenyataan yang dikongsi dalam hantaran terbaharu di akaun Facebook Dr Mahathir.

Sidang Kemuncak KL pada 2019 diterajui Dr Mahathir selaku pengerusi diadakan selama empat hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) disertai 450 perwakilan dari 56 negara Islam yang terdiri daripada pemimpin negara, pemikir, cendekiawan, ahli politik dan pemimpin masyarakat.

Dalam pada itu, Dr Mahathir turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Erdogan atas kejayaan mengekalkan jawatan presiden dalam pilihan raya baru-baru ini.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada mangsa gempa bumi yang memusnahkan beberapa wilayah sehingga mengorbankan ribuan rakyat negara itu.

“Terdapat juga banyak perbincangan mengenai nasib umat Islam dan keperluan untuk membantu mereka yang menghadapi kesukaran serta peperangan,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!