Penganggur tumbuk, hempas bapa dipenjara lapan bulan

Muhammad Fahmi (tengah) dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Melaka pada Khamis.
Muhammad Fahmi (tengah) dipenjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Melaka pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Tindakan seorang penganggur menumbuk dan menghempas bapanya ke tanah, akhirnya berbalas apabila dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Fahmi Ramli, 29, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan cedera ke atas ayah kandung, Ramli Samad, 62, dengan menumbuk di kepala dan menghempas badannya ke tanah berbatu.

Kesalahan itu dilakukan di No 2154-2 Jalan Bunga Raya 4, KM4, Kampung Semabok di sini, pada jam 7.06 petang, 13 Jun lalu.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri memohon tertuduh yang mempunyai rekod lampau atas kesalahan sama dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

Namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dikenakan terhadapnya.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan dari tarikh sabitan hari ini.

Dalam prosiding sama, Muhammad Fahmi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan di bawah seksyen sama iaitu menumbuk bapanya di alamat sama pada jam 11.05 malam 15 Mei tahun lalu.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan cara membaling objek seperti batu, kayu dan besi terhadap mangsa sama di alamat dan masa sama mengikut Seksyen 352 kanun sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman sehingga tiga bulan penjara atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah memberikan diri sendiri dadah jenis methamphetamine di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Melaka Tengah kira-kira jam 4.45 petang pada 15 Jun lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan dikenakan pengawasan polis maksimum tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Pihak pendakwa menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 323 dan Seksyen 352 manakala RM8,000 atas kesalahan dadah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,500 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan tarikh sebutan kes pada 24 Julai depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!