ECRL Kelantan dijangka siap enam bulan lebih awal
PASIR PUTEH - Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di negeri ini dijangka disiapkan enam bulan lebih awal dari tempoh asalnya iaitu Januari 2027.
Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Ir Nik Soh Yaacoub berkata, setakat ini proses pembinaannya telah mencapai 61.7 peratus melibatkan 1,520 pekerja.
"Ia melibatkan proses kemajuan pembinaan jambatan, penambahbaikan dan stesen pertama yang sedang dijalankan iaitu di Tunjong, Kota Bharu.
"Sasaran kita kemudahan ini dapat digunakan sebelum 2028 di mana Kelantan akan menjadi tuan rumah kepada Sukan Malaysia (Sukma)," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.
Sebelum itu beliau bersama Pengurus Projek Eksekutif Seksyen 1, Wang Guan Chao mengadakan lawatan teknikal ke tapak projek ECRL Seksyen 1 di Jerus, di sini.
Menurut Nik Soh, dengan kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) serta China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) projek tersebut mampu disiapkan lebih awal.
"Ia juga dibantu oleh teknologi baharu yang digunakan dapat membantu mempercepatkan kerja-kerja pembinaan.
"Dengan penggunaan mesin canggih, ia menjamin dari segi kebersihan, serta mengurangkan sisa-sisa pembinaan," katanya.
Dalam perkembangan lain, tambah Nik Soh, kemajuan bagi projek ECRL di Kelantan, Terengganu dan Pahang telah mencapai 45.1 peratus.
"Terengganu mendahului dengan pencapaian hampir mencecah kepada 65 peratus berbanding yang lain," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!