Pengeluar gula perlu hantar laporan harian - Salahuddin
PUTRAJAYA - Dua syarikat pengeluar gula, MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) diarahkan untuk menghantar laporan harian kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhubung pengeluaran gula di kilang mereka.
Menteri KPDN, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, langkah tersebut bagi memastikan jaminan bekalan gula di pasaran tidak terjejas.
"Kedua-dua syarikat ini telah memberi jaminan bahawa bekalan gula mencukupi dan kita telah mengarahkan mereka menghantar laporan setiap hari sejak Mei lalu," katanya menerusi sidang akhbar pelancaran Pakej Rahmah Insurans dan Takaful di KPDN di sini pada Khamis.
Menurut Salahuddin, KPDN turut mempergiatkan penguatkuasaan di sempadan negara bagi mengelakkan ketirisan subsidi terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha.
"Kita akan memantau serius perkara ini khususnya di negeri-negeri yang bersempadan dengan negara jiran," ujar beliau.
Salahuddin berkata, selepas berlaku gangguan dan Ops Manis dilancarkan pada Mei lalu, bekalan gula kini adalah stabil berikutan pemeriksaan secara berkala di peringkat pemborong serta runcit.
"Minggu lepas kami turun padang mendapati ada beberapa tempat masih lagi mengalami kekurangan bekalan dan ia diatasi dalam tempoh sehari dua kemudian.
"Dua tiga hari ini kita sudah tidak menerima aduan mengenai gula," katanya lagi.
Dalam pada itu, Salahuddin berharap penunggang motosikal dan individu yang terlibat dalam ekonomi gig merebut peluang untuk mendapatkan Pakej Rahmah Insurans dan Takaful.
"Ia murah dan saya rasa dengan tawaran ini pencarum akan mendapat perlindungan sewajarnya," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, kementerian bersedia untuk mengadakan libat urus dalam masa terdekat dengan pihak bank bagi membincangkan inisiatif perbankan Rahmah.
Pada permulaan Salahuddin telah bertemu dengan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bagi tujuan itu.
"Zafrul berkata beliau bersedia. Kita akan bincang jika boleh ditawarkan mana-mana segmen perbankan seperti perumahan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!