Pemilihan Rohingya masuk IPT berdasarkan kelayakan - KPT

Mohamed Khaled semasa mengadakan lawatan kerja ke Politeknik Ibrahim Sultan (PSI) pada Khamis.
Mohamed Khaled semasa mengadakan lawatan kerja ke Politeknik Ibrahim Sultan (PSI) pada Khamis.
A
A
A

PASIR GUDANG - Pemilihan pelarian Rohingya diterima masuk untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan atau swasta adalah berdasarkan kelayakan dengan tempat yang terhad.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, kemasukan tidak akan dilakukan sewenang-wenangnya dan masyarakat tidak perlu bimbang dengan keputusan menerima mereka melanjutkan pelajaran di IPT.

"Tidak semua etnik Rohingya seperti yang kita lihat di luar, ada di antara mereka yang berkelayakan. Malaysia sebuah negara yang ramai pelajar antarabangsa datang untuk belajar, jadi ada antaranya Rohingya.

"Sekiranya dia (etnik Rohingya) berkelayakan, boleh bayar, mereka boleh memohon melanjutkan pelajaran ke IPT dalam bidang tertentu dengan tempat yang terhad. IPTS (institusi pengajian tinggi swasta) memang terbuka.

"IPT ini bukan ambil semua (Rohingya) masuk semua universiti, tidak. Situasi ini bukan berniaga di tepi jalan, hendak masuk ke universiti kena ada kelayakan merit, bukan semua orang boleh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan kerja ke Politeknik Ibrahim Sultan (PSI) di sini pada Khamis.

AHli Parlimen Kota Tinggi itu mengulas segelintir pihak yang gusar dengan langkah membenarkan pelarian Rohingya menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi ke IPT tempatan dan dikatakan bakal mengancam kedaulatan negara.

Pada Selasa, Penasihat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Prof Emeritus Dr Morshidi Sirat berkata, pelarian Rohingya yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi, akan dapat berbuat demikian tidak lama lagi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Peluang melanjutkan pengajian untuk pelarian itu akan dibiayai menerusi sumbangan Dana Qatar Untuk Pembangunan yang diterima sebelum tahun 2020, berjumlah AS$50 juta (RM231 juta).

Mengulas lanjut, Mohammed Khaled berkata, persepsi masyarakat perlu diperbetulkan terhadap isu peluang pelarian Rohingya menyambung pengajian di IPT.

Katanya selain sifat insan terhadap umat islam, ia juga memberi peluang kepada pelajar Rohingya ini apabila keluar nanti membentuk dan mendidik masyarakat mereka sendiri, supaya tidak menimbulkan masalah.

"Tiada apa yang hendak ditakutkan, alangkah indahnya kita ini menjadikan dia (Rohinya) manusia, takkan kita tiada sifat insani, kita ini hendak jadikan dia berjaya. Dia Islam, dia kalau balik negara dia akan dibunuh.

"Jadi kalau kita dapat lahirkan dia (Rohingya) berjaya, dia boleh betulkan masyarakat dia kalau kita tidak mulakan, dia akan membiak dan menimbulkan masalah kepada kita. Tidak ramai pun, bukan kita pergi ambil semua masuk universiti, tidak," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!