Razarudin, Ayob Khan gandingan mantap terajui PDRM - Saifuddin
KUALA LUMPUR - Pelantikan Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid sebagai Ketua Polis Negara dan Timbalannya, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay untuk menerajui Polis Diraja Malaysia (PDRM) disifatkan sebagai gandingan ideal dan sangat mantap.
Perkara itu ditegaskan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang turut menyifatkan pemilihan kedua-dua tokoh kepolisian itu sebagai keputusan tepat berdasarkan pengalaman kerja masing-masing.
Selain itu beliau berkata, kualiti kepimpinan dua orang kuat PDRM itu berjaya dibuktikan menerusi pelantikan mereka dalam pelbagai jawatan sebelum ini.
"Mereka berdua adalah satu gandingan sangat mantap untuk menerajui PDRM, seterusnya meningkatkan lagi reputasi pasukan polis negara.
"Diharap kecemerlangan mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab diberikan akan dapat diteruskan selepas ini, terutama menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi di enam buah negeri.
"Menjadi satu komponen penting buat PDRM bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam pada PRN itu nanti," katanya dalam sidang akhbar pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas majlis pemakaian lencana pangkat serta serah terima tugas Ketua Polis Negara dan Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol), dekat sini.
Pada majlis tersebut, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyerahkan tugas Ketua Polis Negara kepada Razarudin.
Razarudin dilantik sebagai Ketua Polis Negara yang baharu selama dua tahun berkuat kuasa 23 Jun sehingga 22 Jun 2025 secara kontrak.
Sementara itu, Ayob Khan yang sebelum ini menjawat jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dilantik sebagai timbalan kepada Razarudin.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, menjelang PRN yang bakal berlangsung, pihak polis akan menyusun gerak atur kerja dengan menempatkan 40,000 anggota bertugas di enam buah negeri terlibat.
Jelasnya, selain anggota dan pegawai yang berkhidmat di negeri terlibat, PDRM akan turut menambah kekuatan petugas dari negeri lain.
Kata beliau, kesiapsagaan akan dipertingkatkan bagi memastikan tidak berlaku perkara tidak diingini.
"Ia satu yang penting untuk melihat rakyat tidak takut atau berasa gusar keluar rumah bagi melaksanakan tanggungjawab memilih pemimpin negara," ujarnya.
Beliau berkata, isu 3R iaitu agama, institusi diraja dan kaum harus diambil perhatian serius oleh PDRM menjelang 'perang' PRN.
Ini kerana tegasnya, trend membangkitkan isu 3R agak membimbangkan pada masa ini.
Jelasnya, masih terdapat kritikan terbuka yang langsung tidak menunjukkan adab terhadap institusi diraja.
"Kita tidak mahu pertembungan politik pada PRN ini nanti menjadi satu pertembungan agama yang cuba dimainkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
"Keadaan seumpama itu pastinya tidak bagus untuk ketenteraman dan kesejahteraan negara.
"Maka perkara ini perlu diberi perhatian berat oleh PDRM supaya perkara seumpama ini tidak terus berlaku," ujarnya.
Sementara itu, Saifuddin berkata, sebanyak 151 pos kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) akan dinaik taraf, sekali gus memberi situasi kondusif kepada anggota bertugas.
Menurutnya, perkara itu sangat penting untuk dilaksanakan segera berdasarkan peranan PGA yang berada di barisan hadapan dan menjaga persempadanan negara.
Sehubungan itu beliau berkata, anggaran peruntukan sebanyak RM40 juta diperlukan bagi membaik pulih infrastruktur di pos-pos PGA.
"Proses menambah baik ini melibatkan aspek logikstik PGA termasuk keperluan kabin dan pembaikan lantai yang rapuh.
"Ia satu tindakan munasabah kerana kebanyakan kemudahan di pos kawalan PGA yang terletak di garis sempadan negara sudah banyak yang uzur serta daif," ujarnya.
Tegasnya, kondisi tempat kerja yang sempurna akan meningkatkan semangat juang, seterusnya menghalang berlakunya kegiatan jenayah persempadanan.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Tiada apa yang janggal peralihan kuasa' - Acryl Sani
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!