Harimau Malaysia sasar kumpulan 16 terbaik di Qatar
MALAYSIA menyasarkan untuk layak ke pusingan 16 Piala Asia 2023 di Qatar, Januari tahun depan, kata ketua jurulatih, Kim Pan Gon.
Warga Korea Selatan berusia 54 tahun itu berkata, layak ke peringkat kalah mati kejohanan bola sepak Asia berprestij itu adalah matlamat sebenar Harimau Malaya.
Bagaimanapun, Pan Gon berkata, anak buahnya perlu menyedari di mana kedudukan sebenar mereka berbanding pasukan lain ketika ini.
"Maksud saya Piala Asia bukanlah pentas yang mudah. Ada pasukan yang lebih baik daripada kami. Semua perlu bersedia untuk ini, dalam apa jua situasi kita mesti bersatu, saling memberi semangat dan mendorong pemain, ini penting.
"Kami akan cuba yang terbaik, kami mahu memberi permainan yang baik, menang dan layak (pusingan 16) dan menghadiahkan kejayaan buat Malaysia, namun saya rasa kami perlu melakukannya langkah demi langkah,” katanya ketika ditanya sama ada beliau mempunyai sasaran khusus untuk Piala Asia 2023, baru-baru ini.
Pan Gon berkata, skuadnya akan bermain menentang pasukan lebih kuat bermula September ini selepas mengalahkan Kepulauan Solomon 4-1 dan Papua New Guinea 10-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Terengganu baru-baru ini, sekali gus merekodkan kemenangan dalam empat perlawanan sejak Mac lepas.
Beliau berkata, Malaysia akan bermain minimum enam perlawanan kompetitif sebelum berangkat ke Qatar dan peluang itu akan digunakan untuk melakukan seberapa banyak eksperimen yang boleh untuk menyiapkan pasukan.
"Kami akan cuba (untuk melihat) berapa lama kita boleh bermain pendekatan taktikal ini dan selepas eksperimen itu, kami akan putuskan bagaimana pendekatan untuk Piala Asia,” katanya.
Malaysia, yang bakal membuat penampilan pertama dalam Piala Asia sejak edisi 2007, diundi dalam Kumpulan E bersama juara dua kali Korea Selatan, Jordan dan Bahrain di Qatar.
Johan dan naib johan kumpulan, termasuk empat pasukan terbaik di tempat ketiga layak ke peringkat kalah mati.
Berdasarkan ranking dunia terkini, Korea Selatan berada di kedudukan ke-27, Jordan (84), Bahrain (85) dan Malaysia di posisi ke-138.
Pasukan negara tidak pernah melepasi peringkat kumpulan dalam ketiga-tiga penampilan di Piala Asia, iaitu di Iran pada 1976, Kuwait (1980) dan ketika menjadi penganjur bersama pada 2007. - Bernam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!