City tak kisah Cancelo ke United
PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola menegaskan pemenang kejuaraan treble itu tidak mengambil peduli walaupun pemain pertahanan The Citizens, Joao Cancelo menyertai Manchester United.
Malah tegas pengurus kelahiran Sepanyol itu, kelab itu juga tidak bimbang mengenai destinasi seterusnya pemain berusia 29 tahun dari Portugal tersebut selagi dia meninggalkan Etihad.
Sebagai rekod, Cancelo menyertai gergasi Bundesliga Jerman, Bayern Munich pada musim sejuk dengan perjanjian pinjaman dengan pilihan untuk membeli pada harga €70 juta.
Bagaimanapun, Bayern tidak mengambil pilihan itu menyebabkan Cancelo perlu mencari kelab baru pada musim panas ini.
Guardiola mendakwa bahawa dia bersedia untuk melepaskan Cancelo pada musim sejuk kerana dia tidak diperlukan di kelab itu.
“Saya rasa mereka telah memaklumkannya bahawa dia jauh dari realiti. Di sini pula realitinya ialah kami memutuskan dia terpaksa pergi.
“Kami tidak peduli ke mana dia pergi, walaupun dia mahu pergi ke United, yang merupakan saingan kami.
“Ada ejennya dan kelab yang mereka setuju. Saya tidak akan mengatakan bahawa mereka menipunya tetapi mereka salah memberitahunya,” kata Guardiola.
Apabila ditanya mengenai masa depan Cancelo di Manchester City, Guardiola menambah: “Ini adalah soal pengarah sukan City, Txiki Begiristain, wakilnya dan kelab yang menyayanginya.
“Sejujurnya saya tidak tahu mengapa dia tidak menyertai Barcelona? Kami tidak mendapat sebarang tawaran.”
Terdahulu Arsenal, Barcelona dan Real Madrid telah dikaitkan dengan perpindahan Cancelo pada musim panas ini.
Terdahulu, Cancelo mengakui bahawa dia bukan sebahagian daripada perancangan Guardiola di Manchester City pada separuh kedua musim lalu.
Malah, dia mengakui perlu meninggalkan Etihad kerana Guardiola telah menemui cara untuk bermain tanpa pemain belakang menyaksikan khidmatnya terhad kepada peranan bangku simpanan.
“Seperti yang saya sudah katakan, dia [Guardiola] menemui cara untuk bermain, selepas Piala Dunia, di mana dia mula bermain dengan pemain belakang lebih dalam, di mana saya juga bermain, dan dia suka apa yang dia lihat bersama Rico dan Nathan.
“Saya fikir seorang pemain sentiasa mementingkan diri sendiri. Mana-mana pemain mahu berasa penting, mahu bermain dan sesiapa yang berkata sebaliknya adalah berbohong.
“Seorang pemain yang kompetitif, seperti saya, yang bercita-cita untuk memenangi gelaran hanya mahu bermain,” katanya.
Pada masa sama Cancelo berharap untuk menandatangani perpindahan ke kelab lain, namun City masih belum bersetuju dengan bayaran dengan mana-mana kelab lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!