Hanya khabar angin Anthony bertanding di Pulau Pinang - Kon Yeow
GEORGETOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menyifatkan khabar angin berkaitan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mahu bertanding di negeri ini sama seperti beliau mahu bertanding di Seremban.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang itu berkata, berita sedemikan hanya akan membuat orang ketawa apabila membaca dan sepatutnya media perlu menggunakan kebijaksanaan untuk menilai perkara terbabit.
"Apabila media mendengar khabar angin dia boleh menggunakan kebijaksanaannya untuk menilai sama ada khabar angin itu sedikit berasas atau tidak.
"Kalau langsung tidak berasas anggap ia sebagai khabar angin sahaja lah," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Komtar di sini, pada Khamis.
Sebelum ini, media melaporkan kononnya terdapat Anthony yang juga Menteri Pengangkutan akan bertanding di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di sini tidak lama lagi.
Laporan itu yang memetik sumber dalaman DAP Negeri Sembilan mendakwa, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban akan menjadi calon Ketua Menteri sekali gus menggantikan Kon Yeow sekiranya PH memenangi PRN negeri itu.
Sementara itu, memetik laporan China Press, Anthony yang masih Ahli Parlimen Seremban serta Adun Chennah di Negeri Sembilan berkata beliau tidak bercadang bertanding di kawasan lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!