Ebit Lew tunai haji, terima kiriman doa
RAMAI pengikut Ebit Lew di laman sosial meminta supaya pendakwah itu mendoakan mereka ketika berada di Makkah untuk mengerjakan ibadah haji.
Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 37, membuat tawaran kepada pengikutnya di laman sosial untuk menulis hajat mereka agar dapat dibacakan di Tanah Suci.
Ebit menerima pelbagai tulisan dan titipan orang ramai yang meminta mendoakan mereka di Tanah Suci.
“Alhamdulillah. Doakan ya. Semoga ALLAH terima Haji kami. Jika sempat saya bacakan doa yang tuan puan tulis di bawah insya-ALLAH disini. Sama-sama kita saling mendoakan ya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Menerusi komentar Munawir Sazali di ruangan komen Facebook pendakwah itu, menitipkan doa supaya keluarganya mendapat keberkahan dan turut berhajat untuk menjejakkan kaki ke Mekah bagi menunaikan rukun Islam kelima itu.
“Doakan kami sekeluarga mendapatkan keberkahan dunia dan akhirat dan kami sekeluarga diberikan rezeki untuk pergi menunaikan haji di tanah suci,” tulisnya.
Selain itu, pengguna Facebook bernama Jimiey Zakaria, meminta Ebit dapat menyampaikan doa agar dia diberikan kesihatan diri bagi meneruskan kehidupan dan dipermudahkan urusan dunia serta akhirat.
“Doakan saya juga sampai ke tanah suci membawa ibu sebelum saya tiada. Doakan saya tabah dengan ujian kesihatan dan kewangan terutama peniaga jalanan seperti kami untuk teruskan hidup yang masih berbaki,” ujarnya.
Bagi Shahril Mohd Said dalam ruangan komentar aplikasi itu berkata, doakan anak perempuannya diberi kesihatan yang baik dan rezeki yang melimpah.
“Doakan anak syurga saya Syahirah Dahiyah, 14, dapat berjalan seperti kanak-kanak seusia dengannya dan doakan keluarga saya diberikan rezeki melimpah seperti air sungai yang mengalir deras,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!