JPJ Pulau Pinang keluar 89 saman dalam Ops Pewa

Pegawai JPJ melakukan pemeriksaan terhadap penunggang motosikal warga asing dalam Ops Pewa di Seberang Jaya pada Khamis.
Pegawai JPJ melakukan pemeriksaan terhadap penunggang motosikal warga asing dalam Ops Pewa di Seberang Jaya pada Khamis.
A
A
A

SEBERANG JAYA - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan 89 saman atas pelbagai kesalahan dalam Ops Pemandu Warga Asing (Pewa) yang dijalankan di sini pada Khamis.

Pengarah JPJ negeri, Adenan Md Isa berkata, operasi yang bermula jam 7.30 hingga 10 pagi itu turut menahan 17 penunggang motosikal, enam pemandu kereta dan van yang kesemuanya tidak mempunyai lesen memandu.

Menurutnya, rata-rata mereka dari Bangladesh, Indonesia, Pakistan, Myanmar serta etnik Rohignya ditahan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di sekitar Sungai Dua serta Kulim, Kedah.

"Ketika disoal anggota penguat kuasa kita, mereka memberi alasan sama iaitu kenderaan yang dibawa milik rakan dan tiada sebarang bayaran dikenakan.

"Namun siasatan lanjut yang dilakukan mendapati kebanyakan kenderaan dinaiki mereka didaftarkan atas nama pemilik tempatan dipercayai disewa kepada warga asing," katanya ketika ditemui media di lokasi operasi di sini, pada Khamis.

Antara penunggang motosikal warga asing yang ditahan dalam Ops Pewa di sekitar Seberang Jaya pada Khamis.
Antara penunggang motosikal warga asing yang ditahan dalam Ops Pewa di sekitar Seberang Jaya pada Khamis.

Adenan berkata, soal siasat dijalankan mendapati motosikal disewa pada antara RM300 hingga RM500 sebulan, manakala kereta pula antara RM500 hingga RM1,000 mengikut jenis dan kapasiti.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sepanjang tahun ini sebanyak 409 saman telah dikeluarkan terhadap pemandu warga asing selain menyita 109 kenderaan milik mereka.

"Kita nak ingatkan pemilik kenderaan supaya jangan sewenang-wenangnya membenarkan kenderaan persendirian digunakan oleh warga asing yang tidak memiliki lesen.

"Pelbagai risiko boleh berlaku sekiranya warga asing ini memandu atau menunggang kenderaan tanpa memiliki lesen sah dan terlibat dalam kemalangan malah pemilik kenderaan juga bakal berdepan dengan tindakan sekiranya dapat dikesan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!