Baby Naail terima suntikan ubat Zolgensma RM9.8 juta

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Wan Muhammad Naail Wan Aslam atau dikenali sebagai Baby Naail yang disahkan menghidap penyakit jarang jumpa, Spinal Muscular Atrophy (SMA) Type 1 pada April lalu telah menerima suntikan ubat Zolgensma yang bernilai RM9.8 juta semalam.

Sebuah video yang dimuat naik menerusi akaun Tiktok Founder Misi Rakyat tular kerana hasil sumbangan daripada orang ramai telah membolehkan Baby Naail mendapat rawatan tersebut.

Pemilik akaun tersebut, Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi menjelaskan di dalam video tersebut bahawa proses suntikan itu mengambil masa selama satu jam untuk selesai.

Beliau turut berkongsi reaksi Baby Naail kepada seluruh Malaysia dan rata-rata netizen memanjatkan rasa syukur, gembira dan sebak kerana melihat senyuman bayi itu.

Pada akhir video, Founder Misi itu mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah memberi sumbangan kali ini.

“Terima kasih jiwa-jiwa yang bertuhan,” katanya.

Pada 14 April lalu, kempen kutipan dana bagi menampung kos perubatan telah digerakkan setelah kisah Baby Naail mendapat perhatian Misi Rakyat apabila bayi tersebut didiagnos penyakit jarang jumpa sejak usia empat bulan.

Dana bagi pembelian ubat suntikan Zolgensma itu berjaya diraih setelah sebulan dilancarkan hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Di ruangan komen, netizen memuji usaha beliau yang membuka tabung misi bantuan kepada Baby Naail.

“Alhamdulillah, syukur kepada Founder Misi, semoga Allah memberi rahmat kepadamu,” kata pemilik akaun Intanliyana menerusi ruangan komen.

“Ya ALLAH, menitis air mata aku bila tengok baby naail senyum, alhamdulillah ya allah, terima kasih semua sebab bantu baby naail dan baby athif,” komen oleh qieyarahim

Begitu juga dengan pengguna akaun haziqyusri berkata, terima kasih rakyat Malaysia bersatu untuk misi ini, ingat kita jaga kita #rakyatjagarakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!