Padah ceroboh perairan Malaysia

Empat nelayan Indonesia yang ditahan Maritim Malaysia selepas dikesan menceroboh perairan negara.
Empat nelayan Indonesia yang ditahan Maritim Malaysia selepas dikesan menceroboh perairan negara.
A
A
A

GEORGETOWN - Empat nelayan Indonesia ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang selepas dikesan menceroboh kawasan perairan negara.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot nelayan asing berkenaan ditahan di sekitar 45 batu nautika barat daya Pulau Kendi jam 12 tengah hari pada Rabu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati bot terbabit tidak mempunyai nombor pendaftaran dan disyaki menangkap ikan di perairan Malaysia.

"Seramai empat kru termasuk tekong berusia lingkungan umur 20 hingga 40 tahun berada di atas bot ketika diperiksa.

"Pemeriksaan lanjut mendapati kesemuanya tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan pas perjalanan yang sah untuk memasuki perairan Malaysia," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Abd Razak berkata, kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa memiliki suatu pas yang sah.

Selain itu katanya, bot serta 20 kilogram ikan campur dirampas dan diiring ke jeti Limbungan Batu Maung, Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

Sementara itu dalam kes berasingan, Maritim Malaysia menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C selepas didapati menggajikan kru warga asing.

Beliau berkata, bot terbabit ditahan di kedudukan 26 batu nautika barat Pulau Kendi pada jam 1.30 petang pada hari yang sama.

"Hasil pemeriksaan mendapati, empat kru termasuk tekong warga Myanmar berada di atas bot tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan berumur antara 36 hingga 56 tahun.

"Bot tersebut ditahan dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana telah melanggar syarat sah lesen iaitu

menggunakan kru asing tanpa kebenaran Pengarah Perikanan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki permit atau pas yang sah," katanya.

Tambah beliau, kesemua kru, bot, dan hasil tangkapan ikan campur dianggarkan 200 kilogram kesemuanya dianggarkan bernilai RM 600 ditahan serta dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban untuk tindakan lanjut.

ENDS.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!